KWP rancang program bolehkan rakyat beli rumah ketika usia muda

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan dalam proses menyiapkan kertas cadangan program baharu yang dirancang bagi membolehkan rakyat di Wilayah Persekutuan dapat membeli rumah mampu milik ketika usia muda.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, rancangan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Saya sedang siapkan kertas Kabinet mengenai rancangan kita untuk menambah dan meningkatkan rumah harga mampu milik di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Harga rumah yang dicadangkan lebih rendah daripada kediaman Residensi Wilayah yang biasanya dijual pada RM300,000,” katanya pada sidang akhbar secara langsung di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merancang perkara itu selepas mengambil kira masalah pemilikan rumah yang membelenggu rakyat di Kuala Lumpur.

Dalam sidang akhbar sama, Annuar berkata, talian Pertanyaan Menteri Wilayah Persekutuan (Pertiwi) khusus untuk warga Wilayah Persekutuan yang mula dilancar semalam menerima ratusan aduan dan pertanyaan bukan sahaja daripada penduduk Wilayah Persekutuan malah dari kawasan luar.

“Baru separuh hari selepas dilancar semalam, 129 pertanyaan diajukan berkaitan bidang kuasa KWP, ada juga soalan lain di luar bidang kuasa KWP tetapi tidak mengapa, saya arahkan soalan dianalisa dan saya diberitahu perkembangannya,” katanya.

Annuar berkata, antara soalan yang diajukan adalah sama ada KWP mengambil maklum mengenai anak-anak kelahiran Wilayah Persekutuan yang masih berada di kampus dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara tersebut dibincangkan setiap hari, namun proses permohonannya mesti diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)

“Hanya MKN boleh luluskan sebarang bentuk pergerakan terutama pergerakan yang merentasi sempadan negeri. Sebagaimana kita tahu dasar secara umum tak benarkan pergerakan dari satu negeri ke satu negeri.

“Kalau ada usaha nak bawa balik mereka dengan cara teratur dan mematuhi kaedah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), itu boleh dilakukan kerana ada beberapa permohonan diproses dan diluluskan berdasarkan syarat ketat,” katanya.

Annuar berkata, pihaknya tidak mempunyai data khusus berhubung jumlah pelajar dari Wilayah Persekutuan yang masih berada di kampus.

Bagaimanapun katanya, jika ada permohonan untuk membawa pulang golongan itu, ia mestilah dibuat secara teratur dan berkumpulan.

“Kita sudah minta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebagai agensi penyelaras untuk membawa balik mereka jika ada permohonan, namun ia hanya atas kelulusan MKN dan jawatankuasa peringkat menteri yang memantau pelaksanaan PKP,” katanya.

Terdahulu, talian Pertiwi diwujudkan bagi orang ramai khususnya warga Wilayah Persekutuan mengajukan aduan atau pertanyaan berkaitan pentadbiran agensi di bawah KWP melalui aplikasi WhatsApp di nombor 013-6806666 dan 013-6887777.