Penganggur didenda RM24,000, alih RM1.1 juta milik pesara masuk akaun sendiri

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman denda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengalihkan wang RM1.1 juta milik seorang pesara ke dalam akaun bank miliknya, lapan tahun lepas.
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad juga memerintahkan Chin Chew Woon, 43, menjalani hukuman penjara 24 bulan jika gagal membayar denda itu.
Chew Woon didakwa mengalihkan wang RM500,000 dan RM600,000 milik lelaki berusia 66 tahun ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Brickfields pada 26 dan 27 Disember 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwanya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Mangsa diarahkan untuk memindahkan wang simpanan berjumlah RM500,000 dan RM600,000 ke dalam akaun Chew Woon kononnya bagi tujuan siasatan.
Bagaimanapun, mangsa gagal menghubungi individu itu untuk mendapatkan kembali wang tersebut.
Siasatan mendapati Chew Woon ialah pemilik akaun yang menerima wang tersebut dan dia juga gagal memberikan penjelasan memuaskan berhubung transaksi itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan, mengambil kira faktor mangsa mengalami kerugian besar dan kekerapan kes penipuan di Malaysia.
"Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberikan keinsafan kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya.
Chew Woon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia kini tidak bekerja dan menanggung dua anak, ibu serta ibu mentua yang sakit.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
