Modul SPM YAPEIM bantu anak B40, asnaf keluar daripada kemiskinan

Zulkifli Hasan bersama Timbalannya, Marhamah Rosli, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim, Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasam melancarkan Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM YAPEIM 2026. Foto Bernama
Zulkifli Hasan bersama Timbalannya, Marhamah Rosli, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim, Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasam melancarkan Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM YAPEIM 2026. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Usaha meningkatkan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar B40 dan anak asnaf menerusi Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM 2026 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dilihat mampu menjadi antara usaha membantu golongan berkenaan keluar daripada kemiskinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan berkata, pencapaian cemerlang dalam SPM boleh membuka peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti sebelum graduasi dan seterusnya mengubah kehidupan mereka serta keluarga.

“Jadi kita melihat bahawa salah satu daripada usaha membebaskan mereka daripada kemiskinan, daripada tahap pada hari ini adalah mereka dapat meningkatkan tahap kualiti pendidikan itu.

“Apabila mereka masuk universiti, mereka bergraduasi, mereka boleh mengubah kehidupan mereka dan kehidupan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM 2026 YAPEIM di ibu pejabat YAPEIM di sini pada Khamis.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim bertukar dokumen memorandum persefahaman antara YAPEIM dan Presiden Global Peace Mission Malaysia, Mohd Khairul Anwar Ismail pada pelancaran Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM 2026. Foto Bernama
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim bertukar dokumen memorandum persefahaman antara YAPEIM dan Presiden Global Peace Mission Malaysia, Mohd Khairul Anwar Ismail pada pelancaran Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM 2026. Foto Bernama

Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut memberi tumpuan kepada pelajar B40, khususnya anak asnaf, sebagai sebahagian usaha YAPEIM membantu meningkatkan tahap pendidikan golongan terbabit.

“Saya ucapkan tahniah kepada YAPEIM yang meneruskan usaha untuk membantu anak-anak kita, khususnya kepada anak-anak asnaf,” katanya.

Zulkifli berkata, YAPEIM telah mengedarkan 400,000 naskhah Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM 2026 di seluruh negara bagi membantu calon SPM 2026 membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

Modul berkenaan merangkumi empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan Bahasa Inggeris, dengan Matematik serta Bahasa Inggeris diperkenalkan sebagai mata pelajaran baharu tahun ini.

Pegawai YAPEIM menunjukkan Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM 2026 YAPEIM yang dilancarkan pada Khamis. Foto Bernama
Pegawai YAPEIM menunjukkan Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM 2026 YAPEIM yang dilancarkan pada Khamis. Foto Bernama

Modul yang dibangunkan guru cemerlang berkenaan akan digunakan sebagai bahan latih tubi di sekolah atau secara dalam talian, selain YAPEIM bekerjasama dengan guru cemerlang dan berpengalaman dari seluruh negara untuk mengendalikan kelas secara bersiri menerusi saluran YouTube YAPEIM.

Pengagihan modul dibuat secara berperingkat membabitkan 145 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara, dengan sasaran membantu pelajar berprestasi akademik lemah dan sederhana dalam kalangan B40 yang berdepan kekangan akses kepada sokongan pembelajaran berkualiti.

Dr Zulkifli berkata, sebelum ini YAPEIM hanya menyediakan modul bagi dua mata pelajaran sebelum memperluaskannya kepada Bahasa Inggeris dan Matematik pada tahun ini.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu turut dinilai bagi melihat impaknya terhadap pelajar.

“Program ini sememangnya dinilai dan telah memberikan satu impak yang sangat besar, sangat signifikan kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Modul berkenaan merupakan hasil daripada sumbangan penyumbang Skim Infaq Gaji YAPEIM (SIG).

Sejak 1985 hingga Ogos 2026, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM767 juta menerusi pelbagai program teras membabitkan lebih 10.6 juta penerima manfaat di seluruh negara.

Sementara itu, dalam majlis sama, YAPEIM dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia turut memeterai perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama dua hala antara kedua-dua pihak dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan program pembangunan sosial, pendidikan dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!