[VIDEO] Tiga jam cemas dalam kapal, lelaki buat kacau jerit free Israel terpaksa diikat

KUALA LUMPUR - Perjalanan dari London ke Istanbul bertukar mencemaskan buat tiga pegawai media apabila seorang lelaki membuat kacau dalam penerbangan AJet sebelum ditahan polis sebaik pesawat mendarat pada Khamis.
Pengarah Bahagian Media Sosial dan Media Baharu, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Taufik Abdul Jalil berkata, kejadian berlaku kira-kira sejam selepas penerbangan VF1990 berlepas dari London Stansted pada jam 4 petang.
Beliau berkata, lelaki berkenaan pada mulanya dilihat bercakap seorang diri sebelum mula mengganggu kru dan penumpang lain.
“Pada mulanya dia bercakap seorang diri sebelum mula mengganggu kru dan penumpang lain.
“Kami mengesyaki dia mungkin mengambil dadah berdasarkan keadaan dan tingkah lakunya ketika itu, tetapi perkara itu tidak dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih tegang apabila seorang penumpang menegur lelaki berkenaan sebelum dia bertindak memukul penumpang terbabit.
“Dia kemudian turut memukul kru. Keadaan menjadi semakin cemas sehingga kru dan beberapa penumpang lain terpaksa bertindak menenangkan serta mengikatnya,” katanya.
Mohd Taufik berkata, lelaki terbabit turut beberapa kali menjerit “free Palestine” dan “free Israel” selain terus mengganggu penumpang lain.
Menurutnya, situasi berkenaan berlarutan kira-kira tiga jam sepanjang penerbangan sebelum pesawat tiba di Istanbul.
“Ini pengalaman pertama saya. Biasanya kita hanya lihat kejadian seperti ini di televisyen atau dengar cerita daripada orang lain, tetapi kali ini saya sendiri mengalaminya.
“Kami berada hampir tiga jam dalam kapal terbang dengan situasi seperti itu. Memang ia satu pengalaman yang mencemaskan,” katanya.
Beliau berkata, penerbangan berkenaan mengambil masa kira-kira empat jam untuk tiba di Istanbul sebelum lelaki terbabit ditahan polis sebaik pesawat mendarat.

Mohd Taufik berada dalam penerbangan itu bersama editor The Malaysia Press, Mohd Haizal Yatiran dan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Program, J-KOM, Muhammad Mahfuz Mohamad.
Ketiga-tiga mereka sebelum itu selesai mengikuti Kursus War Journalism di Ankara, Turkiye dari 14 hingga 25 September 2026.
Mereka kemudian bercuti di London dari 26 hingga 30 September 2026 sebelum menaiki penerbangan AJet berkenaan ke Istanbul.
Pesawat terbabit bagaimanapun berjaya mendarat dengan selamat di Istanbul dan lelaki berkenaan kemudian ditahan polis di lapangan terbang.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai identiti lelaki terbabit, sebab sebenar tindakannya atau tindakan lanjut pihak berkuasa Turkiye.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

