Pelawaan letak calon di Kuala Sentul, Lepar pengiktirafan kekuatan parti - Pas Pahang

KUANTAN - Pelawaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Jasri Jamaludin supaya Pas meletakkan calon menggunakan logo Bulan di Kuala Sentul dan Lepar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kekuatan parti itu di Pahang.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, pelawaan tersebut bukan sekadar seruan, tetapi turut membuka ruang untuk kita melihat kembali realiti PRU15.
Menurutnya, kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) di Kuala Sentul dan Lepar pada ketika itu tidak berlaku dalam ruang yang kosong, tetapi turut disokong oleh kerja keras dan gerak kerja jentera Pas.
"Walaupun calon yang bertanding bukan daripada Pas, jentera kita tetap memberikan komitmen sepenuhnya atas semangat perjuangan dan keputusan bersama dalam PN.
"Jika hari ini ada pihak yang melihat Pas sebagai parti yang wajar diberikan ruang untuk bertanding di Kuala Sentul dan Lepar, maka saya melihatnya sebagai satu pengiktirafan terhadap kekuatan organisasi, jentera dan akar umbi Pas yang telah dibina sekian lama," katanya pada Khamis.
Sebelum ini, Jasri yang juga Timbalan Ketua Bersatu Pahang mempelawa Pas bertanding di Kuala Sentul dan Lepar dengan menggunakan logo parti tersebut.
Pelawaan itu dibuat susulan kenyataan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abd Jabar yang memaklumkan parti berkenaan bersedia meletakkan calon di kedua-dua kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri akan datang.
Pada 26 September lalu, Rosli dilaporkan berkata, Pas Pahang bersedia meletakkan calon di kedua-dua kerusi tersebut susulan perkembangan politik semasa menyebabkan kedudukan kerusi terbabit kembali menjadi perhatian.
Menurutnya, selepas berlaku perpecahan antara Pas dan Bersatu, kedua-dua ADUN di kawasan tersebut menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri.
Pada PRU15, calon PN, Jasri memenangi DUN Kuala Sentul dengan memperoleh 6,016 undi, menewaskan calon BN, Khairuddin Ali yang mendapat 5,775 undi dengan majoriti 241 undi.
Bagi DUN Lepar pula, Mohd Yazid Mohd Yunus memperoleh 8,436 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Abd Rahim Muda yang meraih 8,017 undi dengan majoriti 419 undi.
Mengulas lanjut, Ahmad Azlan berkata, pendirian Pas untuk bertanding bukanlah satu omong kosong, tetapi dibuat berdasarkan keyakinan terhadap kekuatan jentera, rekod gerak kerja di lapangan serta kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya.
Tegasnya, kekuatan sesebuah parti tidak hanya diukur melalui siapa calon yang bertanding, tetapi juga melalui sejauh mana jentera mampu bekerja, mempertahankan kawasan dan membina hubungan dengan rakyat.
"Dalam konteks Kuala Sentul dan Lepar, Pas mempunyai pengalaman, struktur jentera dan akar umbi yang telah lama bekerja di lapangan.
"Oleh itu, saya yakin dengan semangat serta keyakinan yang ditunjukkan oleh kepimpinan dan seluruh jentera Pas di peringkat kawasan dan cawangan, insya-Allah usaha untuk mempertahankan Kuala Sentul dan Lepar melalui calon Pas pada PRU16, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

