Isu logo PN: RoS perlu berhati-hati dengan helah Pas - Tun Faisal

SHAH ALAM – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) digesa berwaspada terhadap sebarang cubaan melengahkan proses berkaitan penggantungan penggunaan logo Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Pas selaku pengerusi dan pentadbir PN perlu mengemukakan penjelasan kepada RoS dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan berhubung keputusan yang dikeluarkan jabatan berkenaan.
Menurut beliau, tindakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang meminta penjelasan daripada RoS mengenai aduan Bersatu menimbulkan persoalan memandangkan PN sepatutnya memberikan penjelasan kepada jabatan itu.
“Namun, bukannya memberikan penjelasan seperti yang diminta, Setiausaha Agung PN pula meminta penjelasan daripada RoS mengenai aduan Bersatu yang perlu dijawab.
“Alasan PN bahawa mereka tidak mengetahui mengenai aduan Bersatu sukar diterima kerana Takiyuddin sendiri mengakui pernah dipanggil RoS dan disiasat selama empat jam berhubung perkara tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Takiyuddin memaklumkan bahawa PN telah menghantar surat kepada RoS bagi mendapatkan penjelasan rasmi sama ada logo gabungan itu boleh digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut beliau, surat tersebut turut memohon RoS memperincikan bentuk aduan yang dikemukakan oleh Bersatu terhadap PN.
Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, RoS pada 11 Ogos lalu mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berkaitan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026.
Menurutnya, aduan tersebut turut menyentuh isu kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
“Justeru, tidak munasabah apabila perkara yang telah disiasat dan diberi penjelasan selama empat jam sehingga dikatakan terlepas solat Jumaat, kini dijadikan alasan untuk meminta penjelasan semula daripada RoS.
“RoS perlu berhati-hati terhadap helah dan taktik melengahkan proses dalam isu penggantungan penggunaan logo PN,” katanya.
Tun Faisal turut mendakwa pengalaman Bersatu sejak Pas mengambil alih kepengerusian serta pentadbiran PN menunjukkan beberapa keputusan penting gabungan itu dilengahkan.
Antara perkara yang dibangkitkannya ialah isu pindaan Perlembagaan PN dan pelantikan Ketua Pembangkang.
Beliau berpendapat RoS tidak seharusnya membenarkan permintaan pentadbir PN untuk mendapatkan penjelasan lanjut dijadikan alasan bagi melengah-lengahkan penjelasan yang perlu diberikan kepada jabatan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
