Rungutan peniaga TikTok Shop dibawa dalam taklimat Belanjawan 2027 - Kamil Munim

SHAH ALAM - Rungutan daripada peniaga susulan dakwaan tekanan diterima daripada platform e-dagang media sosial mendapat perhatian kerajaan apabila ia dibawa ke dalam taklimat Belanjawan 2027.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim sebagai respons kepada komen daripada seorang pengguna Threads naimboyka berhubung situasi yang dihadapi sekarang.
Menerusi di ruangan komen, Kamil memberitahu semua pandangan yang dibangkitkan dalam sesi libat urus telah diutarakan.
"Petang tadi (Rabu) sudah dibawa dalam budget briefing.
"Kita ikhtiar yang terbaik untuk kepentingan semua pihak," katanya.
Sebelum ini, naimboyka membangkitkan isu berhubung platform jualan di TikTok dan mendakwa seperti lintah darat.
"Tiktok sedang hisap darah-darah penjual tiktok. Mungkin isu ni belum sampai ke kumpulan jemaah menteri, harap disampaikan.
"Sebagai penjual, terdapat beberapa kos asas yang perlu ditanggung bagi setiap transaksi di TikTok Shop. Antaranya ialah 'transaction fee' sebanyak 3.78 peratus bagi setiap transaksi yang menggunakan kaedah pembayaran selain TikTok PayLater.
"Manakala transaksi menggunakan TikTok PayLater dikenakan transaction fee sebanyak 4.86 peratus. Selain itu, penjual turut dikenakan marketplace commission fee antara 4.86 peratus hingga 15.66 peratus, bergantung kepada kategori produk yang dijual," katanya.
Tambah naimboyka, penjual juga perlu membayar platform support fee sebanyak RM0.54 bagi setiap transaksi.
"Selain itu, sekarang barang yang dipulangkan masih belum sampai kepada penjual, tetapi TikTok sudah membuat kelulusan bayaran balik secara automatik kepada pembeli.
"Jadi minta perhatian sampaikan kepada jemaah menteri sebab seakan mereka ini bebas tanpa ada regulasi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

