Wanita simpan mayat bayi dalam peti sejuk hotel selepas gugurkan kandungan

Wanita warga Thailand berusia 21 tahun mengaku mengambil ubat untuk menggugurkan kandungan
Wanita warga Thailand berusia 21 tahun mengaku mengambil ubat untuk menggugurkan kandungan
A
A
A

BANGKOK - Seorang wanita warga Thailand berusia 21 tahun mengaku mengambil ubat untuk menggugurkan kandungan selepas mayat bayi ditemukan di dalam peti sejuk sebuah bilik hotel di Bangkok pada 30 September.

Wanita dikenali sebagai Katesara itu pada awalnya menghubungi anggota Polis Balai Hua Mark dan mendakwa mengalami keguguran ketika berada di sebuah hotel di Soi Ramkhamhaeng 40, daerah Bang Kapi.

Menurut laporan Workpoint News, Katesara memaklumkan dia mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 30 Ogos.

Dia mendakwa mula mengalami sakit perut kira-kira jam 3 pagi pada 27 September sebelum pergi ke tandas sekitar jam 6 pagi kerana menyangka perlu membuang air besar.

Menurut keterangan awalnya, dia kemudian melahirkan bayi secara tidak dijangka dan bayi berkenaan meninggal dunia.

Susulan laporan itu, polis menjalankan pemeriksaan di bilik hotel terbabit sebelum menemukan mayat bayi lelaki yang dipercayai telah berada pada peringkat akhir kehamilan di dalam beg sampah yang diletakkan dalam ruang sejuk peti ais.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan bungkusan ubat kosong yang digunakan bagi tujuan pengguguran.

Selepas disoal siasat lanjut oleh polis, Katesara akhirnya mengaku mendapatkan ubat berkenaan secara dalam talian dengan tujuan menamatkan kehamilannya sendiri.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut, termasuk mendapatkan keterangan wanita berkenaan serta meneliti keadaan sebenar yang berlaku sebelum bayi itu ditemukan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!