Dua koperal trafik Bukit Aman tidak mengaku minta, terima suapan RM2,000

A
A
A

MELAKA – [DIKEMAS KINI] Dua anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka pada Rabu atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM2,000 daripada dua lelaki pada Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan ke mereka.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan ke mereka.

Tertuduh, Mohd Zulkhairy Zakaria, 39, dan Yaakub Yusoff, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa secara rasuah meminta wang berjumlah RM2,000 daripada dua lelaki berusia 23 tahun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap mereka yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika kejadian, kedua-dua tertuduh didakwa bertugas sebagai anggota polis di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 1.30 pagi hingga 2 pagi pada 5 Januari 2026 di Jalan Simpang Ampat, Alor Gajah.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menerima wang tunai RM2,000 daripada individu yang sama sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap mangsa terbabit yang disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 2.45 pagi pada tarikh yang sama di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah utara, Lebuhraya Utara-Selatan.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa'ari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah.

Menurut beliau, jaminan bukan bertujuan menghukum tertuduh tetapi bagi memastikan mereka hadir sepanjang prosiding mahkamah.

Beliau memaklumkan Mohd Zulkhairy telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah, selain menanggung ibunya yang berusia 62 tahun dan mempunyai masalah kesihatan.

Katanya, tertuduh yang berkhidmat sejak 2011 memperoleh pendapatan kira-kira RM3,700 sebulan manakala isterinya merupakan suri rumah.

Bagi Yaakub pula, beliau telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak, manakala isterinya bekerja sebagai guru dengan pendapatan isi rumah sekitar RM9,000 sebulan.

Peguam turut memaklumkan kedua-dua tertuduh telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan serta hadir bagi setiap proses yang diperlukan.

Sehubungan itu, beliau memohon jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh serta bersedia mematuhi syarat tambahan seperti melaporkan diri di pejabat SPRM dan tidak mengganggu mana-mana saksi.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya mereka melaporkan diri di pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!