AirAsia lancar tabung derma digital, 'Derma Dengan Ikhlas'

AirAsia.com hari ini melancarkan inisiatif tabung 'Derma Dengan Ikhlas' bagi memudahkan individu atau organisasi yang ingin menjalankan tanggungjawab amal mereka pada bulan Ramadan.
AirAsia.com hari ini melancarkan inisiatif tabung 'Derma Dengan Ikhlas' bagi memudahkan individu atau organisasi yang ingin menjalankan tanggungjawab amal mereka pada bulan Ramadan.
A
A
A

AIRASIA.com melancarkan inisiatif tabung derma digital awam, 'Derma Dengan Ikhlas' bagi memudahkan individu atau organisasi yang ingin menjalankan tanggungjawab amal mereka pada bulan Ramadan.

Tabung 'Derma Dengan Ikhlas' yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah itu dilancarkan menerusi sebuah platform yang tulus, selamat dan terjamin di mana dana tersebut akan digunakan untuk membantu komuniti memerlukan serta pasukan barisan hadapan, selain membantu peniaga tempatan pada Ramadan kali ini.

Ketua Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, walaupun sambutan Ramadan pada tahun ini berbeza berbanding sebelum ini, ia tidak menghalang pihaknya untuk meneruskan amalan bersedekah.

Beliau berkata, disebabkan itu pihaknya berbesar hati untuk melancarkan sebuah inisiatif yang memberi peluang kepada semua orang untuk bekerjasama dan bersama membantu mereka yang memerlukan pada bulan mulia ini.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan menyediakan sebuah platform bagi membantu para penderma menyalurkan sumbangan ikhlas mereka yang akan digunakan untuk tujuan sedekah pada Ramadan nanti.

“Kami berharap dapat mengedarkan barang keperluan asas kepada 5,000 keluarga dan juadah berbuka puasa kepada lebih 20,000 individu sepanjang bulan Ramadan ini.

"Kami juga akan membeli bekalan daripada lebih 100 peniaga kecil dan sederhana dengan tujuan membantu perniagaan mereka pada masa yang sukar ini,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara komuniti yang akan menerima sumbangan itu termasuk keluarga yang kurang bernasib baik, pelarian dan badan bukan berasaskan keuntungan seperti Soup Kitchen dan rumah anak-anak yatim.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada dana tersebut juga akan digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa bagi pasukan barisan hadapan yang bertugas seperti pegawai perubatan, polis, tentera dan lain-lain.

Ikhlas berkata, pihaknya sedar mereka tidak akan dapat menjayakan inisiatif itu tanpa bantuan daripada semua pihak.

"Kami mengajak semua yang berkongsi visi dan semangat kami untuk bekerjasama dengan kami," katanya memberitahu kempen tabung 'Derma Dengan Ikhlas' itu akan bermula hari ini sehingga 22 Mei 2020.

Katanya, orang awam yang berminat untuk menderma boleh melayari laman sesawang Givewith.Ikhlas.com atau terus ke Facebook dan Instagram, ikhlasdotcom.

‘Derma Dengan Ikhlas’ adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia.

Ikhlas.com merupakan jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk perniagaan pelancong Islam.

Portal itu akan dilancarkan pada bulan Jun 2020 dan bertujuan untuk membantu umat Islam di seluruh dunia dalam menunaikan kewajipan agama termasuk umrah, korban dan gaya hidup berasaskan hukum syariah.

End