Pencapaian RM1 bilion dikembalikan kepada rakyat

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pahang berjaya memperoleh hasil melebihi RM1 bilion dalam tempoh lima tahun berturut-turut sejak 2022 menerusi usaha meningkatkan hasil negeri serta menangani ketirisan, kebocoran dan aktiviti haram.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kedudukan kewangan yang baik penting bagi membolehkan kerajaan negeri terus menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan kebajikan kepada rakyat.
“Kita sama ada suka atau tidak suka kerajaan, mesti memikirkan kebajikan untuk rakyat dan bila kita memikirkan kebajikan untuk rakyat, kita mesti mempunyai kedudukan kewangan yang baik.
“Justeru, kerajaan negeri berusaha mencari peluang yang boleh mendatangkan hasil selain memastikan ketirisan dan kebocoran dapat dikawal bagi meningkatkan pendapatan kerajaan negeri,” katanya ketika Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian pada Khamis.
Manakala prestasi ekonomi negeri menunjukkan perkembangan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang meningkat kepada RM71 bilion pada 2025.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perancangan pembangunan negeri sehingga 2050 memerlukan kerajaan negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh bagi memastikan agenda berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik.
"Antara usaha meningkatkan hasil termasuk membanteras aktiviti pembalakan haram, pencurian pasir, mineral dan penerokaan tanah secara haram.
“Kita uruskan ketirisan, kita uruskan kebocoran dan kita melihat apa jua yang boleh mendatangkan hasil untuk rakyat, kita usahakan.
“Ini alhamdulillah terjadi dan telah pun terbukti kerana Pahang sekarang ini dah lima tahun mendapat hasil lebih RM1 bilion sejak 2022,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga mengubah pendekatan terhadap aktiviti haram dengan membawa kes ke mahkamah sekiranya kesalahan berkenaan terbukti, berbanding hanya mengenakan kompaun.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan tindakan yang dikenakan bersesuaian dengan kesalahan dan mengelakkan kehilangan hasil kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri melaksanakan pemutihan terhadap kawasan penerokaan tanah haram yang sesuai bagi memastikan hasil tanaman sedia ada tidak terbuang begitu sahaja.
“Objektif kita ialah tidak mahu supaya ada berlaku aktiviti haram ini kerana kita ingin meningkatkan hasil kerajaan negeri,” katanya.
Ujarnya, hasil yang diperoleh kemudiannya dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk termasuk kebajikan, pendidikan dan keperluan asas.
“Kerajaan negeri boleh kembalikan semula apa yang dapat itu kepada rakyat dalam pelbagai bentuk, kebajikan, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Tubuh UPNP tangani pencerobohan, aktiviti haram
Menurutnya, usaha menangani kebocoran hasil diperkukuh menerusi penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang mempunyai 200 anggota terlatih.
Beliau berkata, penubuhan unit berkenaan membantu menangani pencerobohan tanah dan aktiviti haram yang sebelum ini dilihat serius di negeri itu.
“Kita latih 200 orang bagi tujuan penguatkuasaan sahaja. Mereka inilah yang sekarang ini sekiranya ada berlaku mana-mana pencerobohan tanah haram, dapat maklumat mereka yang akan pergi dan ambil tindakan yang sepatutnya.
“Alhamdulillah, dengan adanya mereka ini, aktiviti-aktiviti haram itu sekarang ini sudah sangat minimal, walaupun bukanlah seratus peratus tidak ada,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, usaha meningkatkan hasil negeri memberi ruang kepada pihaknya untuk memperluaskan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, antara inisiatif berkenaan ialah Rumah Rakyat Pahang yang diberikan secara percuma kepada rakyat yang layak sebagai salah satu usaha membantu golongan berdepan kemiskinan tegar.
“Kita mengadakan Rumah Rakyat Pahang yang diberikan secara percuma kepada rakyat Pahang.
“Kita ada 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap DUN kita bagi lapan buah rumah kepada wakil rakyat untuk diberikan kepada penduduk yang berkenaan dan pemilihannya dibuat oleh pegawai daerah,” katanya.
Menurutnya, pegawai daerah akan menerima nama calon daripada wakil rakyat sebelum pemilihan penerima dibuat bagi memastikan bantuan berkenaan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau berkata, usaha berkenaan menjadi antara pendekatan kerajaan negeri dalam membantu rakyat keluar daripada kemiskinan tegar.
Dalam pada itu, kerajaan negeri membantu anak-anak Pahang yang berada di institusi pengajian tinggi menerusi bantuan sebanyak RM400 sekali setahun.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang melihat cadangan menyediakan pinjaman tanpa faedah bagi membantu pelajar institusi pengajian tinggi atau golongan belia mendapatkan motosikal.
“Selain daripada itu, kita bagi bantuan dalam bentuk bantuan bakul negeri yang terdiri daripada beras, minyak, telur dan sebagainya.
“Bantuan bakul negeri ini disalurkan secara berterusan menerusi peruntukan yang diberikan kepada setiap wakil rakyat bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan bantuan berkala bagi rakyat yang berdepan masalah seperti sakit, kematian, rumah bocor, kerosakan atap dan bencana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
