'Hanya makan malam, kalau Pas jemput PH datang juga' - Adam Adli

Adam Adli
Adam Adli
A
A
A

MELAKA - Pertemuan tertutup pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sebuah hotel di sini pada Isnin hanya membabitkan jamuan makan malam serta sesi suai kenal, kata Adam Adli Abdul Halim.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka itu berkata, PH menerima jemputan Bersatu itu sebagai langkah mengekalkan hubungan baik antara parti politik dalam suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Tak ada perancangan. Kita cuma makan malam dan suai kenal, tengok apa hala tuju masing-masing.

"Jemputan untuk jamuan makan malam tertutup oleh Bersatu ini dah lama dan kita berpandangan bagus dalam pilihan raya ini kita terima jemputan tersebut supaya kita kekalkan sekurang-kurangnya hubungan baik antara semua pihak," katanya ditemui selepas selesai menghadiri majlis berkenaan.

Turut kelihatan hadir Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk R Sri Sanjeevan; Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datuk Seri Mohammad Ali Mohamad dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, pertemuan tersebut turut menjadi ruang kepada pimpinan parti untuk saling mengenali serta berkongsi pandangan mengenai persediaan menghadapi PRN.

"Walaupun majlis ini tertutup, kita boleh saling bersuai kenal dan tengok siapa yang berada dalam prapilihan raya ini, apa perancangan masing-masing dan sebagainya.

"Kita sudah nyatakan sebelum ini lagi, dalam pilihan raya kali ini semua pihak sebenarnya sedang bercakap antara satu sama lain.

"Malam ini dengan kawan-kawan daripada Bersatu, biasa sebelum ini dengan Barisan Nasional (BN). Tak tahulah kalau Pas nak jemput, alhamdulillah kita datang juga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas pembahagian kerusi, Adam Adli berkata, agihan kerusi dalam PH di peringkat negeri telah diselesaikan, namun keputusan berkenaan masih perlu melalui proses selanjutnya sebelum diumumkan.

"Itu dalam PH, ya, kita dah selesai. Cuma itu hanya peringkat awal. Banyak lagi kerja lain.

"Kita tumpukan balik kepada pemerkasaan jentera dan pastikan juga bahawa dalam pemilihan calon nanti kita bagi yang betul-betul baguslah," katanya.

Beliau berkata, jumlah kerusi yang telah dipersetujui PH akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Ditanya sama ada pembahagian kerusi itu tidak membabitkan gabungan dengan parti lain, Adam Adli berkata, perkara berkenaan masih belum dapat dipastikan.

"Tak termasuklah buat masa sekarang ini. Kita pun tak pasti macam mana lagi betul-betul. Sebab itu kena suai kenal dulu semua.

“Bukan cuma Bersatu, dengan BN pun kita sentiasa berunding, bercakap, bersuai kenal. Pas sahaja yang macam saya cakap, belum jemput lagi. Jadi kita tunggu juga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!