SPRM kemuka syor perkukuh tatakelola projek Agro Park, urus niaga lembu Felda

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan beberapa syor penambahbaikan tatakelola kepada Felda dan dua anak syarikatnya bagi meningkatkan ketelusan pelaksanaan Projek Agro Park (Komersial) serta Projek Rintis Urus Niaga Jual Beli Lembu.
SPRM dalam hantaran di Facebook pada Isnin memaklumkan syor itu dikemukakan menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola kepada Felda, FIC Supplies Sdn Bhd dan FIC Integrated Property Management (FIC IPM).
Antara syor yang dikemukakan adalah penstrukturan semula peranan FIC IPM sebagai panel penasihat bebas bagi memastikan pandangan dan nasihat yang diberikan lebih objektif, telus serta bebas daripada konflik kepentingan.
SPRM memaklumkan Felda turut disyorkan supaya mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi kaedah perolehan melalui Permintaan untuk Cadangan dan perubahan kerja serta menambah baik prosedur urus niaga jual beli oleh FIC Supplies bagi meningkatkan kawalan dalaman dan ketelusan.
"Felda dan anak syarikatnya menyambut baik syor tersebut serta memberikan komitmen untuk melaksanakannya secara berperingkat," menurut hantaran itu.
Menurut SPRM, persetujuan terhadap syor itu dimeterai menerusi Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani Timbalan Pengarah Besar Service Felda, Muhammad Fitri Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FIC, Syed Fadil Syed Sofi dan Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohazaki Hassan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
