Atlet Selangor terima insentif SUKMA November ini

ATLET Selangor yang mencatat kejayaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA dijangka menerima insentif kemenangan masing-masing pada November depan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, kerajaan negeri sudah menyediakan peruntukan bagi tujuan itu dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM7 juta.
"Dari segi peruntukan kita sudah dapat daripada pihak kerajaan negeri dan akan adakan satu majlis untuk meraikan atlet SUKMA dan Para SUKMA ini bersama-sama sukarelawan.
"Pada majlis itu nanti juga kita akan serahkan insentif kepada semua atlet yang mencatatkan kejayaan cemerlang," katanya ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Konvensyen Belia Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini pada Sabtu.
Pada 26 Julai lalu, kerajaan Selangor menetapkan kadar insentif kemenangan yang setara buat atlet SUKMA dan Para SUKMA 2026 bagi membakar semangat kontinjen negeri memburu kejuaraan keseluruhan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengiktirafan dan ganjaran berperingkat mengikut kategori acara itu diberikan tanpa sebarang diskriminasi demi menghargai usaha serta pengorbanan kedua-dua kumpulan atlet terbabit.
Atlet Selangor yang meraih pingat emas pada temasya SUKMA dan Para SUKMA bagi acara individu hingga kumpulan bertiga di negeri ini bakal menerima insentif RM15,000
Bagi atlet berempat hingga 10 orang yang meraih emas pula akan menerima RM7,000 atau RM10,000 (juara keseluruhan), manakala acara berkumpulan dengan 10 atlet ke atas pula sebanyak RM5,000 atau RM7,000
SUKMA Selangor 2026 melakar sejarah manis apabila kontinjen Merah Kuning muncul juara keseluruhan bagi temasya berkenaan.
Selangor menjuarai SUKMA 2026 setelah mengutip 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, manakala kontinjen Para SUKMA pula melengkapkan kejayaan berganda apabila mengumpul 200 pingat menerusi 93 emas, 55 perak dan 52 gangsa.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata, majlis pemberian insentif itu juga sedang dirancang untuk digabungkan dengan Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor bagi memberi penghargaan lebih menyeluruh kepada barisan atlet negeri.
Beliau menjelaskan, pemberian insentif itu bukan hanya membabitkan atlet, sebaliknya turut merangkumi persatuan sukan serta pegawai dan pengurusan yang berkaitan.
"Pemberian insentif ini diharap menjadi penghargaan terhadap atlet yang mengharumkan nama Selangor selain memberi pengiktirafan kepada barisan pengurusan serta pihak yang membantu kejayaan kontinjen negeri," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

