Bekas COO TH didakwa lagi atas pertuduhan terima kos ubah suai rumah RM8,882.77

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah didakwa atas pertuduhan menerima kos ubah suai rumah, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sama melibatkan kos pengubahsuaian sebuah rumah di Bandar Sri Damansara bernilai RM8,882.77, sembilan tahun lepas.
Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Adi Azuan didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Pegawai Operasi TH, telah menerima untuk dirinya benda berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi iaitu kos pengubahsuaian sebuah rumah di Jalan Tanjung SD 13/4, Bandar Sri Damansara bernilai RM8,882.77 daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd Thamsulazri Ismail, yang dia ketahui ada kena-mengena dalam urusan yang dijalankan olehnya.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di kediaman berkenaan pada 7 Mac 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras memaklumkan kepada mahkamah bahawa Adi Azuan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam mengikut seksyen serupa dan pihak pendakwaan memohon supaya jaminan RM50,000 dan syarat jaminan di mahkamah berkenaan diguna pakai untuk kes ini.
"Semalam, mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya, tidak mengganggu saksi pendakwaan selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Mahkamah Sesyen Shah Alam juga telah menetapkan 25 Nov untuk sebutan kes.
"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya kes di mahkamah ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan secara bersama, kerana ia melibatkan saksi dan kertas siasatan sama,” katanya.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili Adi Azuan berkata pihaknya tidak membantah permohonan pendakwaan supaya kes di mahkamah ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan secara bersama.
"Saya sahkan tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan. Oleh itu, mohon mahkamah mengguna pakai jaminan dan syarat jaminan di mahkamah berkenaan untuk kes ini,” katanya.
Hakim Suzana membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama, selain menggunakan pakai wang jaminan dan syarat jaminan ditetapkan sebelum ini.
Semalam, Adi Azuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menerima benda berharga iaitu kos pengubahsuaian tiga buah rumah berjumlah RM302,499.27.
Susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kepada umum berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji, menyaksikan tujuh individu didakwa di mahkamah, setakat hari ini.
Mereka termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd Nasahruddin Ahmad serta Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd Datuk Azmi Ahmad.
Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, serta menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
Laporan itu turut menyebut bahawa wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
