Tiga ciri wajib pemimpin Selangor: Cepat belajar, rajin dan terbuka

A
A
A

Amirudin menjelaskan sikap keterbukaan seseorang pemimpin juga penting bagi memastikan pemimpin memperoleh pandangan yang lebih menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan.
Amirudin menjelaskan sikap keterbukaan seseorang pemimpin juga penting bagi memastikan pemimpin memperoleh pandangan yang lebih menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan.

SHAH ALAM – Cepat belajar, rajin bekerja dan bersikap terbuka merupakan tiga karakter penting yang perlu ada pada mana-mana pemimpin yang menerajui Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ciri berkenaan penting kerana negeri itu bergerak dalam persekitaran yang dinamik, selain berdepan pelbagai isu membabitkan pentadbiran, rakyat dan sektor swasta.

Menurut beliau, pemimpin Selangor tidak boleh lambat menyesuaikan diri dengan perubahan kerana kegagalan memahami perkembangan semasa boleh menyebabkan negeri itu ketinggalan.

“Tak kira mana parti atau tokoh, sewajarnya apabila menjadi pemimpin Selangor, anda wajar menjadi orang yang cepat belajar.

“Kalau tidak, kita akan tertinggal dengan perubahan yang begitu pantas dan gagal memahami persoalan besar daripada pengurusan pentadbiran sampailah kepada anak syarikat,” katanya pada Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dikendalikan Fikry Ibrahim di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Mengulas ciri kedua, Amirudin berkata, pemimpin Selangor perlu rajin dan bekerja keras kerana masalah yang dihadapi negeri itu datang dalam pelbagai bentuk serta memerlukan tindakan berterusan.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian tetamu yang hadir mendengar penerangan dan penjelasan daripada Menteri Besar Selangor pada Selasa.
Sebahagian tetamu yang hadir mendengar penerangan dan penjelasan daripada Menteri Besar Selangor pada Selasa.

“Masalah Selangor datang macam-macam. Kena hadap, kena jawab. Kena rajin bekerja keras setiap masa.

“Selain itu, keterbukaan juga penting bagi memastikan pemimpin memperoleh pandangan yang lebih menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan,” jelasnya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata, setiap pandangan perlu didengar daripada pelbagai pihak, termasuk penjawat awam hingga rakyat kerana pemimpin tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan satu sudut sahaja.

“Sultan Selangor pernah menasihatkan bahawa semakin tinggi posisi, anda akan sendirian ketika membuat keputusan. Jadi keterbukaan itu perlu.

“Kalau tidak, kita gagal membuka rangkuman terhadap isu, masalah dan solusi untuk dilaksanakan pada masa depan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!