Selangor akan dilegasikan dengan lebih tersusun, seimbang

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berazam untuk melengkapkan legasi Selangor sebagai sebuah negeri yang lebih tersusun dan teratur dari aspek pembangunan, selain mampu menyediakan kualiti kehidupan yang lebih seimbang kepada rakyat.
Beliau berkata, matlamat itu antara perkara yang mahu dicapai sepanjang tempoh menerajui Selangor, khususnya menerusi perancangan pembangunan yang tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar utama.
“Saya harap selepas sempurna tugasan saya di Selangor, saya harap negeri ini menjadi negeri yang jauh lebih tersusun dan teratur dari segi pembangunan untuk generasi depan.
“Ini usaha saya sejak dari penggal pertama menjadi Menteri Besar,” katanya pada Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dikendalikan Fikry Ibrahim di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.
Beliau berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi memastikan pertumbuhan tidak berlaku secara organik sehingga menyebabkan pembangunan menjadi tidak tersusun.
"Lebih banyak kita atur untuk pembangunan negeri dan kita ada Rancangan Selangor untuk atur pembangunan negeri berdasarkan keperluan semasa dan memperkasakan potensi setiap daerah, terutama di kawasan utara.
“Kawasan Hulu Selangor sudah mula rancak sejak lima tahun kebelakangan ini dan pada masa depan, Kuala Selangor serta Sabak Bernam akan dilihat mampu menyediakan penempatan supaya tidak tertumpu di tengah Selangor seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Subang dan Klang,” katanya lagi.
Jelas beliau, perkembangan itu diharapkan dapat menangani jurang pendapatan rakyat, sekali gus merealisasikan pembangunan yang lebih adil.
Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau tidak terlalu bimbang terhadap kritikan yang diterima sepanjang menjalankan amanah sebagai pemimpin.
Katanya, kritikan perlu diterima sebagai sebahagian daripada proses dalam melaksanakan tanggungjawab, selain menjadi asas untuk terus memperbaiki kelemahan.
“Jangan takut dengan kritikan, jangan gelisah dan bimbang orang kritik. Kalau kita buat betul, satu masa orang akan beri kredit walaupun pada awalnya kita dikritik.
“Kalau nak hidup, terima hakikat bahawa kita akan dikritik. Itu memberikan saya sedikit daya tahan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
