Pusat data Selangor: Keperluan rakyat diambil kira

A
A
A

Amirudin bercakap Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dihoskan Fikry Ibrahim di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.
Amirudin bercakap Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dihoskan Fikry Ibrahim di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menegaskan pembangunan pusat data di negeri itu akan mengambil kira keupayaan bekalan air dan tenaga bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terjejas.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kewujudan pusat data menawarkan peluang ekonomi, terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pusat data memerlukan penggunaan tenaga dan air yang tinggi, sekali gus menjadikan aspek kecukupan kedua-dua sumber berkenaan antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian.

“Prinsip kita jelas, air dan tenaga adalah sumber penting dan kita dahulukan rakyat.

“Kalau keperluan tidak cukup, kita tidak boleh teruskan kepada pusat data,” katanya pada Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dihoskan Fikry Ibrahim di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang hadir menyaksikan program Town Hall anjuran Sinar Harian pada Selasa.
Sebahagian daripada pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang hadir menyaksikan program Town Hall anjuran Sinar Harian pada Selasa.

Amirudin berkata, kelulusan projek pusat data juga tertakluk kepada syarat yang ditetapkan di peringkat Persekutuan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor sebelum ia boleh beroperasi.

Pada masa sama, beliau melihat perkembangan pusat data sebagai peluang untuk mengembangkan industri tempatan, khususnya sektor semikonduktor yang semakin diberi tumpuan.

Menurutnya, Selangor memberi tumpuan kepada industri semikonduktor, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), selain papan litar, pembungkusan dan wafer.

“Kita juga ada dasar 30 peratus kandungan tempatan supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat manfaat daripada operasi pusat data di Selangor.

“Mereka bukan boleh ambil semuanya dari luar negara,” katanya.

Jelas beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan manfaat kemasukan pelaburan pusat data turut dirasai syarikat tempatan dan PKS, selain melindungi kepentingan rakyat.

Amirudin turut menyifatkan pusat data sebagai industri yang membawa peluang dan cabaran serentak, termasuk dari segi keperluan infrastruktur serta hubungan rangkaian antarabangsa.

“Perkembangan teknologi turut membuka ruang kepada penerokaan alternatif pada masa depan seperti konsep pusat data di laut yang dilaksanakan di China bagi mengurangkan keperluan sistem penyejukan konvensional.

“Meskipun bukan bermaksud kita anti (pusat data) secara keseluruhan, tetapi yang penting kita mengambil sikap berjaga-jaga untuk melindungi rakyat, khususnya dari segi air dan tenaga,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!