Polis siasat aliran dana Mandiri Development Centre

Mohd Khalid.
Mohd Khalid.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat aspek penyimpanan, pemindahan dan penggunaan wang termasuk kemasukan atau pengeluaran dana yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil daripada aktiviti haram dalam kes membabitkan Mandiri Development Centre Sdn Bhd.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

"Kertas siasatan itu dibuka pada 10 September lalu susulan satu laporan polis berdasarkan hasil semakan terhadap syarikat berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Khalid berkata, semakan tersebut berkaitan penerimaan dana yang disyaki hasil daripada aktiviti haram bagi tempoh 2024 hingga 2026.

“Dua individu yang merupakan pengarah Mandiri Development Centre Sdn Bhd telah ditahan pada jam 3.53 petang semalam (Selasa).

“Kedua-duanya ditahan di Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis akan meneruskan siasatan secara menyeluruh dan berlandaskan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

"Siasatan turut merangkumi aspek penyimpanan, pemindahan, penggunaan serta kemasukan atau pengeluaran wang yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil daripada aktiviti haram.

“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta boleh mengelirukan masyarakat serta berpotensi menjejaskan kelancaran proses siasatan,” katanya.

Mohd Khalid berkata, polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!