Kembalikan deposit bazar Ramadan: Khalid Samad

Khalid Samad
Khalid Samad
A
A
A

SHAH ALAM – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penganjur bazar Ramadan disaran memulangkan kembali keseluruhan bayaran termasuk deposit, sewa tapak dan lain-lain fi yang diambil daripada peniaga.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samad ketika mengulas perkara itu berkata, ia berikutan peniaga bazar terlibat memerlukan wang ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang juga bekas Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), kerugian terpaksa ditanggung penganjur yang telah membuat persiapan berhubung perkara itu wajar ditanggung secara minima oleh DBKL atau KWP yang telah memberikan harapan bahawa bazar Ramadan akan diadakan tahun ini.

“Saya berpendapat DBKL dan penganjur bazar Ramadan perlu memulangkan keseluruhan bayaran yang diambil daripada peniaga.

“Sudahlah mereka tidak dapat berniaga, duit sewa dan deposit mereka pula dipegang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau berkata, ketika semua pihak sudah mengambil keputusan tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pula yakin pendekatan baharu boleh menjayakannya walaupun negara berhadapan dengan wabak koronavirus (Covid-19).

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, terbukti, ia tetap ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memutuskan semua bentuk bazar Ramadan tidak dibenarkan tahun ini.

Beliau berkata, ekoran itu, puluhan ribu ringgit wang sewaan tapak bazar Ramadan milik peniaga kecil di Wilayah Persekutuan tersangkut di DBKL dan penganjur.

Artikel Berkaitan:

“DBKL memberi dua pilihan kepada peniaga sama ada mengambil balik duit bayaran sewa tersebut atau bayaran sewa itu dibawa ke tahun hadapan sebagai bayaran untuk program tahun depan. Jika ambil balik duit itu maka mereka terpaksa memohon kembali tapak dan tiada jaminan mereka akan terpilih kembali.

“Di lokasi yang ada penganjur bazar, pihak penganjur dakwa mereka telah berbelanja besar untuk persiapan bazar bagi tahun ini. Oleh itu, sekiranya DBKL memulangkan deposit dan sewa tapak sekalipun, mereka akan melakukan potongan untuk menampung kos mereka,” katanya.

Khalid berkata, soal bazar tahun depan, ia perlu diuruskan tahun depan dengan pengundian tapak dibuat semula.

Katanya, tidak wajar wang milik peniaga kecil dipegang sebagai deposit dan tempahan selama setahun.

Terdahulu, DBKL menawarkan dua pilihan kepada peniaga berhubung proses tuntutan pemulangan bayaran sewa tapak di Bazar Aidilfitri@Jalan Raja dan Bazar Iftar Ramadan 2020.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan berkata, bagi pilihan pertama, peniaga yang berhasrat tidak membuat tuntutan bayaran sewa tapak, fi lesen, caj perkhidmatan dan wang cagaran adalah layak secara automatik untuk berniaga di bazar berkenaan bagi tahun hadapan.

Menurutnya, untuk pilihan ini, semua bayaran yang dijelaskan kepada DBKL tidak akan dipulangkan dan akan dibawa untuk penganjuran bazar pada tahun hadapan.

Bagi pilihan kedua pula, peniaga yang berhasrat menuntut kembali semua bayaran berkenaan perlu membuat proses permohonan berkaitan.