Cabaran EBC 2026: Peserta redah perjalanan darat lebih 30 jam

SHAH ALAM - Peserta Cabaran Everest Base Camp (EBC) 2026 berdepan halangan luar biasa apabila terpaksa menempuh perjalanan darat lebih 30 jam sebelum memulakan pendakian ke kaki Gunung Everest.
Perjalanan yang sepatutnya dimulakan dengan penerbangan dari Kathmandu ke Lukla, Nepal terpaksa diubah selepas penerbangan dibatalkan susulan keadaan cuaca tidak menentu sejak beberapa hari lalu.
Misi yang diketuai Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar itu mengambil keputusan menggunakan jalan darat dengan menaiki dua jip dari Kathmandu menuju ke Surke, yang dipilih sebagai titik permulaan pendakian.

Perjalanan bermula pada Jumaat dan mengambil masa lebih 16 jam sebelum kumpulan itu tiba di Saleri, sebuah pekan di daerah Solukhumbu untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan harinya menuju Surke.
Laluan yang dilalui bukan sahaja berliku dan sempit, malah sebahagiannya merentasi lereng gunung, selain terdapat beberapa kawasan terjejas akibat tanah runtuh yang menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi perlahan.
Selepas menempuh perjalanan lebih 16 jam lagi, kumpulan itu akhirnya tiba di penginapan di Surke pada lewat malam.
Keseluruhan perjalanan darat selama dua hari itu ternyata menguji ketahanan fizikal dan mental peserta sebelum mereka benar-benar memulakan pendakian.
Namun, keletihan itu tidak mematahkan semangat kumpulan berkenaan untuk meneruskan misi.
Selepas berehat semalaman di Surke, kesemua peserta bangun awal dan mula berjalan menuju kawasan lebih tinggi.
Daripada Surke, kumpulan itu dijangka meneruskan perjalanan melalui laluan pergunungan menuju Namche Bazaar, salah satu penempatan penting dalam laluan ke Everest Base Camp.
Mereka dijangka tiba di penempatan itu pada Isnin, bergantung kepada keadaan cuaca, laluan dan kemampuan fizikal setiap peserta.
Perjalanan menuju Namche Bazaar juga menjadi antara peringkat penting apabila peserta mula berdepan peningkatan altitud secara berperingkat, sekali gus memerlukan mereka mengatur setiap langkah bagi membolehkan tubuh menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan ketinggian.
Selain Johan, peserta Cabaran EBC 2026 ialah Malim Gunung Ledang, Mohd Firdaus Muhammad; pendaki muda negara, Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor serta Addanan Abdul Ghani, Husain Ahmad, Zamira Mat Akhir, Mohamad Razis Isman, Haida Azreena Hannie dan Haida Izzaty Izzyan.
Walaupun datang daripada latar belakang dan pengalaman berbeza, kesemua peserta berkongsi matlamat sama untuk menjejakkan kaki di Everest Base Camp yang terletak pada ketinggian sekitar 5,364 meter dari aras laut.
Cabaran itu dikendalikan pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin bersama isterinya, Drupati Pun, yang mengiringi kumpulan sepanjang perjalanan ke EBC.
Kedua-duanya bertanggungjawab memantau pergerakan peserta, keadaan laluan serta perkembangan semasa sepanjang ekspedisi.
Dalam pendakian di kawasan Himalaya, keadaan boleh berubah dalam tempoh singkat dengan faktor cuaca, salji, keadaan laluan, tahap kecergasan peserta dan kesan altitud perlu sentiasa diberikan perhatian.
Justeru, perjalanan kumpulan tidak hanya bergantung kepada jadual yang ditetapkan, sebaliknya turut mengambil kira keadaan sebenar di lapangan.
Berdasarkan perancangan awal, kumpulan Cabaran EBC 2026 dijadualkan tiba di Everest Base Camp pada 26 September ini.
Bagaimanapun, sasaran itu tertakluk kepada keadaan kesihatan peserta, tahap penyesuaian badan terhadap altitud, kelancaran perjalanan serta cuaca sepanjang laluan.
Perjalanan yang sepatutnya bermula dengan penerbangan singkat dari Kathmandu ke Lukla kini menjadi ujian pertama kumpulan berkenaan.
Namun, laluan yang berubah itu tidak menghentikan misi mereka sebaliknya, perjalanan panjang tersebut menjadi pembuka kepada cabaran sebenar menuju Everest Base Camp, dengan setiap langkah membawa kumpulan itu semakin tinggi merentasi laluan pergunungan Himalaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
