Kerajaan perluas kemudahan pemindahan kelayakan BUDI Diesel - PM

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk memperluas kemudahan pemindahan kelayakan BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) dengan pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana pengguna sebenar kenderaan diesel persendirian yang layak, berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini pemindahan kelayakan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat.
"Walaupun kita umumkan BUDI95 (BUDI Madani RON95) 300 liter sebulan pada Ambang Kemerdekaan 31 Ogos tetapi pemilik pikap dan jip diesel, ini masalah banyak di Sabah dan Sarawak, masih mengeluh. Jadi kita naikkan diesel bersubsidi hingga 400 liter sebulan.
"… tetapi inilah ertinya demokrasi, kita dengar, masih mengeluh, menteri-menteri Sabah dan Sarawak keluarkan permasalahan ini, maka selain daripada pengumuman bulan lepas, kerajaan bersetuju untuk menambah baik BUDI Diesel,” kata beliau ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam Rabu.
Selain itu, Anwar berkata, pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian boleh memindahkan kelayakan bulanan BUDI Diesel kenderaan tersebut kepada maksimum tiga kenderaan lain.
Perdana Menteri berkata, pemindahan kelayakan bulanan inisiatif BUDI Diesel kenderaan itu tertakluk kepada permohonan rayuan.
Tetamu kehormat pada sambutan itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan penerima yang diluluskan akan mendapat kelayakan bulanan sendiri yang boleh digunakan untuk membeli RON95 bersubsidi, diesel bersubsidi atau gabungan kedua-duanya.
Bagaimanapun pemindahan kelayakan itu tidak melibatkan pertukaran hak milik kenderaan.
"Pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah dan layak menerima BUDI95, yang merupakan pengguna sebenar kenderaan yang ditetapkan.
"Setelah permohonan diluluskan, penerima yang diluluskan boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kenderaan diesel yang ditetapkan kepadanya," menurut MOF dalam kenyataan.
Menurut MOF, pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian pula boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan tersebut kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan diesel berdaftar.
Pada masa sama, pemilik berdaftar masih mengekalkan kelayakan bulanan bagi kenderaan diesel persendirian yang belum dipindah untuk kegunaan sendiri.
"Sebagai contoh, sekiranya Encik Alias mempunyai empat kenderaan diesel persendirian, beliau boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan tersebut kepada pengguna sebenar kenderaan itu seperti isteri, anak dan pekerja beliau.
Encik Alias dan ketiga-tiga individu tersebut akan menerima kelayakan bulanan masing-masing berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan.
"Bagi kenderaan diesel persendirian jenis jip atau pikap yang layak, Encik Alias sebagai pemilik berdaftar kenderaan tersebut memohon tambahan 100 liter sebulan, tertakluk pada syarat yang ditetapkan sebelum permohonan pindah kelayakan dapat dibuat," menurut kenyataan itu.
Bagi situasi pemilik memindahkan ketiga-tiga kenderaan diesel yang dimiliki, MOF memaklumkan pemilik berdaftar hanya akan dapat menikmati subsidi BUDI95.
"Bagi setiap kenderaan yang layak, pemindahan hanya dibenarkan sekali. Setelah diluluskan, kelayakan tersebut tidak boleh dipindahkan semula kepada pemilik berdaftar atau kepada individu lain, kecuali dalam keadaan khusus yang ditetapkan.
"Seorang penerima hanya boleh menerima pemindahan kelayakan daripada seorang pemilik berdaftar," menurut kenyataan itu.
Permohonan di bawah ketetapan baharu itu boleh dibuat mulai hari ini melalui portal BUDI Madani www.budimadani.gov.my, secara fizikal di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau mendapatkan maklumat lanjut serta bantuan di stesen minyak berdekatan.
Bagi membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 hari bulan berikutnya, permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 hari bulan semasa.
"Sebagai contoh, permohonan yang dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 September akan diproses untuk membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 Oktober, tertakluk pada semakan dan pengesahan data.
"Pemindahan kelayakan yang telah diluluskan sebelum 16 September kekal muktamad. Pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan masih boleh mengemukakan permohonan baharu, tertakluk pada had maksimum tiga penerima pemindahan dan jumlah kenderaan diesel berdaftar," menurut MOF.
Semua permohonan pemindahan yang masih belum selesai diproses setakat 15 September akan dikembalikan kepada pemohon dan pemilik berdaftar yang masih ingin memindahkan kelayakan perlu mengemukakan permohonan baharu mulai 16 September berdasarkan ketetapan dasar baharu berkenaan.
Maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Khidmat BUDI Madani melalui talian 1300-88-9595, WhatsApp 03-2631 4595 atau e-mel tanya@budimadani.gov.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
