Kerajaan bina pangkalan data ratusan bahasa, dialek

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang membangunkan pangkalan data yang mendokumentasikan ratusan bahasa, dialek dan ungkapan kolokial yang digunakan oleh pelbagai komuniti di Malaysia bagi memastikan warisan berkenaan dapat dipelihara untuk generasi akan datang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha itu merupakan inisiatif berskala besar yang merangkumi bahasa masyarakat Orang Asli selain pelbagai dialek Melayu negeri serta bahasa dan pertuturan komuniti lain.
Menurutnya, dokumentasi berkenaan bukan sahaja dibuat dalam bentuk tulisan, malah turut melibatkan rakaman video bagi merekodkan cara sesuatu bahasa atau dialek itu dituturkan.
“Pada masa akan datang, pangkalan data ini akan boleh diakses oleh orang awam, tetapi buat masa ini Arkib Negara Malaysia sedang mendokumentasikan semua bahasa berkenaan kerana jumlahnya sangat banyak.
“Bahasa-bahasa ini bukan hanya dalam bentuk tulisan tetapi juga melalui video untuk menunjukkan bagaimana masyarakat bertutur,” katanya dalam wawancara sempena Hari Malaysia.
Aaron berkata, usaha itu penting susulan terdapat bahasa dan dialek tertentu yang semakin kurang digunakan termasuk beberapa dialek masyarakat Cina di Malaysia serta bahasa Portugis Melaka.

Ujarnya, kementerian telah melengkapkan kajian menerusi inisiatif Bahasa Kolokial yang dimulakan pada 2024 bagi merekod dan mendokumentasikan bahasa, dialek serta ungkapan kolokial yang digunakan pelbagai komuniti.
“Banyak ungkapan, sebutan dan cara pertuturan diwarisi secara lisan dan mungkin tidak pernah didokumentasikan secara rasmi.
“Bahasa dan tradisi lebih daripada sekadar bentuk komunikasi atau amalan budaya. Ia membawa sejarah, memori dan identiti sesebuah komuniti,” katanya.
Jelas beliau, kehilangan sesuatu bahasa atau tradisi bermakna sebahagian daripada warisan kolektif Malaysia turut hilang.
Dalam pada itu, Aaron berkata, kementeriannya turut memulakan inisiatif Arkib Komuniti bagi mendokumentasikan dan memelihara sejarah, pengalaman, tradisi serta memori kolektif masyarakat Malaysia yang pelbagai.
“Apa yang kita gagal dokumentasikan hari ini mungkin mustahil untuk dipulihkan pada masa akan datang,” katanya.
Tambah beliau, pangkalan data berkenaan kelak juga boleh menjadi sumber rujukan kepada pelajar yang mahu mempelajari pelbagai bahasa yang terdapat dalam negara.
Terdahulu, Aaron berkata, Rang Undang-Undang Muzium Malaysia yang akan datang bakal menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha mewujudkan pendekatan nasional yang lebih tersusun bagi mengawal selia lebih 200 muzium di seluruh negara.
Katanya, Malaysia mempunyai kira-kira 232 muzium, namun hanya 22 daripadanya berada di bawah Jabatan Muzium Malaysia, manakala selebihnya diuruskan kerajaan negeri, agensi lain, institusi dan pihak swasta. - The Star
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

