Dialek Cina berubah ikut cara Malaysia

SHAH ALAM - Masyarakat Cina di negara ini bukan satu kelompok tunggal, sebaliknya mempunyai pelbagai asal-usul nenek moyang, kelompok dialek, bahasa dan budaya yang berkembang selepas beberapa generasi menetap di Malaysia.
Felo Penyelidik Kanan Pusat Kajian Cina Malaysia, Chiam Yan Tuan berkata, pada peringkat awal masyarakat Cina lebih cenderung mengenal pasti diri berdasarkan daerah, pekan atau kampung asal berbanding wilayah luas seperti Fujian atau Guangdong.
Menurutnya, taburan kelompok dialek turut berkait dengan sejarah pembangunan kawasan termasuk perlombongan, penempatan pertanian dan penghijrahan terancang.
Bagaimanapun, perubahan struktur keluarga dan urbanisasi menyebabkan proses pewarisan dialek semakin lemah apabila generasi muda tidak lagi tinggal bersama datuk dan nenek serta berpindah ke bandar.
“Jika mereka tidak tinggal bersama, menjadi sangat sukar untuk anak-anak mempelajari dialek daripada datuk dan nenek,” katanya.
Sementara itu, Felo Penyelidik Ng Yuen Yi berkata, Hokkien, Teochew, Hakka, Kantonis dan Hainan merupakan antara kelompok dialek utama masyarakat Cina Malaysia.
Jelasnya, peningkatan mobiliti, perkahwinan merentas kelompok serta interaksi antara komuniti menyebabkan Mandarin secara beransur-ansur menjadi bahasa bersama yang lebih mudah digunakan dalam keluarga.
Namun, katanya, dialek Cina Malaysia bukan sekadar semakin kurang ditutur, malah turut berubah selepas menerima pengaruh bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan dialek Cina lain.
“Apabila masyarakat Cina awal tiba di Asia Tenggara, mereka berhadapan banyak perkara yang tidak wujud di tempat asal dan tiada istilah dialek yang tersedia.
“Oleh itu, mereka meminjam perkataan daripada bahasa Melayu atau Inggeris dan lama-kelamaan ia menjadi sebahagian daripada dialek itu,” ujarnya. - Sin Chew Daily
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

