Dua bekas banduan tidak serik, ditahan semula curi parcel, kabel

Saifullah (dua dari kiri) pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.
Saifullah (dua dari kiri) pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dua bekas banduan yang dibebaskan tiga tahun lalu, kembali aktif melakukan jenayah sebelum ditahan dalam Op Pintu Durai di sini, pada 5 September lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya @ Yahaya berkata, kedua-dua suspek lelaki lelaki itu terlibat dalam 11 kes pecah rumah, samun stor peralatan kabel di sebuah pusat data dan mencuri bungkusan sejak April lalu.

Menurut beliau, suspek berusia 26 hingga 27 tahun berasal dari utara tanah air itu tiba di Johor pada Januari lalu untuk bekerja di kawasan kilang, namun diberhentikan kerja pada Mac.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek bergerak secara berkumpulan, dengan sasaran utama rumah tidak berpenghuni serta kawasan kilang dan tapak pembinaan yang terpencil.

“Dalang bagi kumpulan ini merupakan suspek berusia 26 tahun. Setakat siasatan yang dijalankan, hanya mereka berdua sahaja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Selasa.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan terbabit ialah melakukan jenayah antara jam tiga hingga enam pagi ketika keadaan sunyi.

"Suspek turut menyamar sebagai pengawal keselamatan sebelum memecah masuk tapak pembinaan sebuah pusat data untuk menyamun kabel tembaga pada 28 Julai lalu.

“Dalam kejadian itu, terdapat warga asing yang bertugas sebagai pengawal keselamatan dan mereka mengikat pengawal berkenaan sebelum melakukan samun.

“Kerugian akibat kecurian kabel tembaga dianggarkan RM50,000 dan ia adalah kes keenam yang dilakukan kedua-dua suspek,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifullah (tiga dari kiri) menunjukkan parcel yang dicuri suspek pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.
Saifullah (tiga dari kiri) menunjukkan parcel yang dicuri suspek pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.

Menurutnya, selain kabel tembaga, suspek turut mencuri parcel yang ditinggalkan di hadapan rumah dengan jumlah kerugian lebih RM7,000.

“Ada barang parcel yang dijual dan ada yang digunakan untuk kegunaan sendiri. Mereka akan mengambil parcel, membawanya pulang dan membukanya sebelum mengasingkan barang untuk kegunaan sendiri atau dijual.

"Jumlah keseluruhan kerugian bagi 11 kes yang berjaya diselesaikan dianggarkan RM75,000," katanya.

Jelasnya, siasatan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk pernah dipenjarakan bagi kes pecah rumah dan dadah.

"Suspek berusia 26 tahun mempunyai 11 rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi suspek mempunyai 31 rekod jenayah lampau.

“Kedua-duanya pernah dipenjarakan sebelum dibebaskan pada awal 2023,” ujarnya.

Dalam pada itu, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

"Kedua-duanya kini masih ditahan selepas mahkamah melanjutkan tempoh reman dan akan dituduh di mahkamah pada 17 September," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!