'PM jadi PM sebab UMNO' - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas pihak yang menggesa parti itu supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan pedasnya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada Jumaat.
Tanpa menyebut secara jelas pihak yang dituju itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jawatan Perdana Menteri yang disandang ketika ini tidak akan dicapai tanpa sokongan partinya.
“Ceplos-ceplos (laskar siber) minta kita keluar daripada kerajaan kalau berani. Barang harus diingat wahai ceplos.
“Kerajaan Perpaduan jadi sebab UMNO tau. Perdana Menteri jadi Perdana Menteri sebab sokongan UMNO tau,” katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.
Sementara itu, membalas sindiran hantaran media sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai istilah guru, beliau berkata, UMNO tidak akan mengikut semua tindakan tersebut.
“Kita hendak ingatkan guru itu, jika guru kencing berdiri, kami tidak akan kencing berlari,” katanya.
Ahmad Zahid dalam masa sama turut menyampaikan serangkap pantun penuh makna iaitu ‘Berburu ke padang datar, Dapat rusa si belang kaki; Berguru kepalang ajar, Bagaikan bunga kembang tak jadi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan turut menyindir pihak luar daripada itu yang begitu berminat mengikuti perjalanan perhimpunan terbesar partinya, meskipun tidak menyukai UMNO.
“Perhimpunan kita ini diikuti bukan sahaja oleh ahli UMNO di dalam dan luar dewan tapi orang luar pun berminat.
“Itu sebab saya sebut sebenci mana pun mereka pada UMNO tapi mereka tetap hendak tahu apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung UMNO. Malah, yang ada di India sekarang pun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

