Air mata Khairul Aming dan kapitalis baik hati

MENITIS air mata pempengaruh dan usahawan selebriti, Khairul Aming apabila mengenang kembali kisah beliau tidak dapat membantu arwah bapanya kerana kesempitan wang.
Katanya ketika arwah bapanya sedang sakit, dia tidak mampu untuk membelikan ubat dan tidak dapat mengupah orang untuk menjaga ayahnya kerana kekangan ketika bekerja makan gaji.
Disebabkan itu dia nekad untuk memulakan perniagaan dan menghabiskan semua wang simpanan dan membuka kilang untuk mengeluarkan produk terkenalnya di Kelantan.
Selepas berjaya, Khairul Aming tidak lokek dengan kakitangan dan bukan sahaja memberikan bonus malah membawa mereka semua melancong.
Tetapi malangnya semua kebaikan yang beliau lakukan tidak disenangi sesetengah orang sehingga sanggup melabelkan dia sebagai seorang kapitalis.
Kapitalis bermaksud individu, golongan atau pihak pemodal yang mempunyai dan melaburkan modal untuk menjalankan perniagaan serta aktiviti ekonomi demi mengaut keuntungan.
Label kapitalis boleh jadi negatif dan juga positif namun bergantung kepada konteks atau niat pihak yang ditujukan itu.
Jika seseorang usahawan itu didapati begitu tamak dengan mengaut keuntungan melampaui batas sehingga sanggup mencemarkan alam sekitar, melakukan rasuah, menindas atau mengeksploitasi pekerja dan apa saja perbuatan buruk demi kepentingan diri, maka itu selayaknya jadi kapitalis jahat.
Satu ketika dahulu, saya dan kawan-kawan sepejabat pernah melabelkan seorang peniaga tepi jalan dengan gelaran 'makcik kapitalis'.
Ini kerana harga makanan yang dijual agak mahal sedangkan, dia tidak perlu membayar sewa dan menanggung kos yang begitu tinggi.
Tetapi jauh di sudut hati kami, peniaga tersebut tidaklah begitu 'kejam' seperti seorang kapitalis yang jahat.
Dalam sejarah tertulis, Ford Motor Company yang diasaskan oleh Henry Ford sebagai sebuah syarikat kapitalis paling jahat dengan mengeksploitasi pekerjanya.
Pada 1914, Ford menawarkan upah AS$5 sehari, jauh lebih tinggi daripada kebiasaan ketika itu kerana dia mahu mengeluarkan kereta secara besar-besaran.
Syarikat itu berjaya mengeluarkan sebuah kereta daripada 12 jam kepada cuma 93 minit sahaja. Namun ada sisi gelap dan 'harga' yang perlu dibayar oleh pekerja syarikat itu.
Ford mewujudkan sistem pengawasan pekerja yang sangat ketat dengan memantau kehidupan peribadi pekerja dan menilai tingkah laku mereka.
Ini bermakna pekerja boleh mendapat gaji yang tinggi dengan syarat pihak syarikat juga mahu mengetahui kehidupan mereka di luar waktu bekerja seperti bersosial, cara berbelanja, berkeluarga dan penggunaan alkohol.
Jika pekerja tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan maka, mereka akan kehilangan faedah-faedah yang disediakan.
Saya berpandangan Khairul Aming tidaklah berada dalam kalangan kapitalis yang tamak haloba, tetapi dia adalah seorang usahawan tulen yang merintis kejayaan melalui jalan yang betul.
Dia tidak perlu ambil hati dengan kata-kata nista orang-orang di media sosial kerana kita semua tahu tidak semua yang akan memuji kita.
Kalau ikut takrifan, memanglah Khairul Aming seorang kapitalis dan ia adalah satu fakta yang tidak boleh disangkal pun.
Yang penting adalah doakan agar dia menjadi seorang kapitalis yang bertakwa, beriman dan jujur dengan segala usaha yang dilakukan.
Dia perlu terus jadi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi kapitalis yang berjaya dan ada hati nurani yang baik.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
