Gempa bumi bermagnitud 6.0 landa Indonesia

JAKARTA - Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Laut Banda di timur Indonesia pada Jumaat malam, dengan gegaran dirasai di sebahagian wilayah Maluku.
Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Wijayanto berkata, gempa bumi itu berlaku pada 6.56 petang waktu tempatan pada kedalaman 148 kilometer, dengan pusat gempa terletak 162 kilometer di timur laut Maluku Barat Daya.
"Hasil pemodelan tsunami menunjukkan gempa bumi ini tidak berpotensi mencetuskan tsunami," katanya dalam satu kenyataan.
Wijayanto berkata, gempa bumi itu berlaku pada kedalaman pertengahan akibat aktiviti subduksi di Laut Banda, dengan pergerakan berlaku di sepanjang sesar tujah.
Beliau berkata, gegaran kuat dirasai di Amahai di Maluku Tengah, Damer dan Kepulauan Babar di Maluku Barat Daya, manakala gegaran lebih lemah dilaporkan di Saumlaki dan Tiakur.
Wijayanto berkata, tiada kejutan lanjur direkodkan setakat 7.15 malam, sambil menambah bahawa BMKG akan terus memantau aktiviti seismik dan menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai.
Beliau menasihati penduduk supaya bertenang, mengelakkan maklumat yang tidak sah dan menjauhi bangunan yang rosak akibat gempa bumi itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
