650,000 majikan bagai telur di hujung tanduk

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan
A
A
A

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu susulan wabak Covid-19 ternyata memberi impak yang besar kepada lebih 650,000 majikan di Malaysia.

Disebabkan kegiatan ekonomi domestik dan antarabangsa hampir ditutup sepenuhnya, sekurang-kurangnya 15,000 pekerja sektor swasta sudah diberhentikan sejak Mac lalu akibat kegagalan majikan untuk terus bertahan.

Meskipun kerajaan sudah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 bernilai RM250 bilion untuk meredakan tekanan dihadapi rakyat serta syarikat-syarikat di negara ini, namun nasib majoriti majikan masih diibaratkan telur di hujung tanduk sekali gus mengundang kebimbangan sama ada akan berlaku pemberhentian lebih ramai pekerja swasta dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Wartawan Sinar Ahad, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan MOHD HAFIZ ISMAIL menemu bual Pengarah Ekeskutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan semalam bagi mendapatkan gambaran sebenar kesan wabak Covid-19 terhadap golongan majikan dan pekerja ketika ini.

SINAR AHAD: Apakah situasi semasa yang dihadapi oleh pihak majikan ketika ini? Sejauh manakah mereka terjejas akibat PKP dan Covid-19?

SHAMSUDDIN: Sebenarnya kebanyakan syarikat pada masa ini agak tenat melainkan beberapa bidang perniagaan seperti syarikat penghantaran secara atas talian. Di situ peluang agak tinggi kerana orang ramai tidak boleh keluar dari rumah. Kebanyakan mereka memilih untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran bagi mendapatkan keperluan masing-masing.

Jadi, kita lihat banyak peningkatan perniagaan untuk mereka, tetapi untuk banyak sektor lain saya merasakan agak tenat pada masa ini.

Bagaimana pula dengan nasib pekerja? Berapa ramai yang hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau gaji mereka dipotong?

Artikel Berkaitan:

Pada masa ini, memanglah tidak tinggi statistiknya. Pada akhir bulan Mac lalu, kira-kira lebih 15,000 orang kehilangan pekerjaan terutama dalam sektor pelancongan dan perhotelan.

Ini kerana kita tahu semasa PKP, kita melaksanakan apa dipanggil sebagai ‘partial lockdown’. Tiada pelancong dari luar boleh datang dan pelancong dalam negeri pun tidak boleh pergi melancong. Ini menyebabkan kebanyakan hotel dan mereka yang terlibat dalam perusahaan pelancongan tidak dapat bertahan. Daripada sektor pelancongan sendiri, lebih 1,000 pekerja telah ditamatkan perkhidmatan.

Keduanya, sektor pembuatan juga mengalami keadaan agak serupa di mana rantaian pengeluaran mereka kini agak terputus kerana kebanyakannya memerlukan bahan mentah yang datang dari China dan juga untuk dieksport ke negara luar.

Negara luar pun mengamalkan keadaan serupa yang kita amalkan pada masa ini. Mereka tidak membenarkan barang masuk dan barang keluar. Ini menyebabkan keadaan dalam sektor pembuatan terjejas dan membawa kepada kesan penamatan perkhidmatan kira-kira 3,000 pekerja pada masa ini.

Baru-baru ini juga telah diumumkan tentang penutupan syarikat pengeluar pakaian terkenal, Esquel Malaysia, yang beroperasi di Kelantan dan Pulau Pinang. Dalam dua kes ini ia melibatkan pemberhentian pekerja melebihi 2,000 pekerja.

Ada juga syarikat tekstil, TAL Group yang mengambil keputusan untuk menamatkan operasi di Malaysia dan melibatkan lebih 4,300 pekerja (diberhentikan). Sebenarnya saya rasa ini permulaan kepada masalah pemberhentian kerja dan perkara ini mungkin meningkat lagi kalau kita gagal menangani isu ini.

Apakah yang akan berlaku sekiranya PKP terus dilaksanakan sehingga bulan Mei atau Jun?

Sebenarnya memang mungkin ada keperluan untuk PKP dilanjutkan kerana kita mahu memutuskan rangkaian penularan Covid-19. Tanpa PKP, mungkin rakyat akan berduyun-duyun pergi ke tempat kerja atau berhimpun di lokasi tumpuan dan ini akan menyukarkan kita membendung Covid-19.

Tetapi kemampuan syarikat-syarikat untuk terus beroperasi dan bertahan adalah terhad. Kebanyakan syarikat menyatakan kalau lebih sebulan setengah (perniagaan tidak berjalan), ia akan menyebabkan mereka gulung tikar. Ini terutamanya syarikat kecil. Di Malaysia, syarikat-syarikat kecil sangat banyak. Kita tahu bahawa di Malaysia 98.8 peratus syarikat ialah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Sebenarnya, 60 peratus daripada jumlah syarikat berkenaan adalah merangkumi syarikat-syarikat mikro dan mempunyai pekerja kurang daripada lima orang. Syarikat seperti ini bilangannya amat tinggi iaitu 650,000 buah. Jika mereka tidak beroperasi, memang agak sukar untuk mereka membayar gaji. Mereka bekerja hari ini, dapat pendapatan hari ini dan bayar gaji hari ini juga.

Jika mereka tidak ada sebarang pendapatan, sudah pasti mereka tidak dapat meneruskan kehidupan mereka. Kesemua syarikat sedemikian tidak mampu untuk bertahan dengan pekerja yang akan ditamatkan pekerjaan akan ramai kerana bilangan majikan ramai.

Kalau katakan PKP hendak dilanjutkan, kita sebenarnya menyokong hasrat kerajaan untuk cuba membendung penularan Covid-19. Tetapi tidak bermakna syarikat-syarikat harus tidak dibenarkan beroperasi. Apa yang diputuskan kerajaan baru-baru ini adalah sesuatu yang kita sokong yang membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi. Tetapi perlu berperingkat demi peringkat, bukan dibuka sekali gus.

Kerajaan nampaknya lebih bersedia untuk membenarkan sektor perniagaan beroperasi secara berperingkat tetapi orang ramai begitu bimbang ia akan mewujudkan kluster jangkitan baharu. Apa komen Datuk?

Sebenarnya mungkin pihak awam tidak faham tentang bagaimana syarikat-syarikat ini mahu meneruskan perniagaan mereka. Kita tahu bahawa kalau syarikat dan pekerja dihalang beroperasi terlalu lama, sudah tentu mereka akan kehilangan banyak perkara. Pertamanya, mungkin majikan akan kehilangan pelanggan mereka. Mereka mungkin tidak dapat membekalkan barangan, perkhidmatan dan sebagainya serta menjejaskan perniagaan mereka sewaktu beroperasi semula. Selain itu, faktor kos kerana gaji biasanya menelan kira-kira 33 peratus kos operasi, malahan untuk sektor pelancongan kos itu dianggarkan meningkat antara 40 hingga 50 peratus. Di sini kita harus faham niat syarikat untuk beroperasi dan juga keputusan kerajaan harus dilihat secara positif.

Apakah cadangan kepada pihak kerajaan untuk memastikan semua syarikat mampu untuk kembali semula selepas PKP tamat nanti?

Sebenarnya kita tahu bahawa kesan Covid-19 kesan adalah menyeluruh dan akan mengambil masa lama. Kesannya bukan cuma tiga, enam bulan. Kita tahu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sudah membuat ramalan bahawa Covid-19 akan menyebabkan kejatuhan perniagaan kira-kira 33 peratus di seluruh dunia.

Kalau itulah keadaan, sudah pasti banyak syarikat tidak mampu mengekalkan bilangan pekerja yang kita ada buat masa ini. Jadi bayangkan kalau di Malaysia kita tamatkan 33 peratus pekerja, itu akan menjadi satu masalah sosial yang amat tinggi dan harus dielakkan. Jadi pertamanya mengenai Pakej Prihatin yang diumumkan kerajaan, kita merasakan jumlah dana rangsangan berkenaan adalah tidak mencukupi. Kalau kita lihat subsidi gaji sebagai contoh, ia kurang daripada 19 peratus kos gaji bulanan sektor swasta.

Kita tahu negara lain seperti United Kingdom, Perancis, Kanada dan Singapura telah memberikan subsidi gaji 75 hingga 80 peratus, kita harus lihat perkara ini sebagai cuba untuk menolong syarikat dan cuba untuk menolong pekerja itu sendiri.

Kita harus membenarkan mereka diberi subsidi untuk tempoh masa lebih lama. Kita lihat bahawa subsidi upah tidak banyak menolong syarikat besar kerana ia hanya dihadkan untuk 200 pekerja. Jumlahnya juga RM600 tidak begitu besar. Kita tahu sekiranya syarikat besar itu gagal dan tidak meneruskan operasi, langkah pemberhentian kerja mereka yang terlibat adalah tinggi.

Kita harus mengambil langkah lebih proaktif dan cuba mengurangkan kos operasi. MEF mencadangkan selain pemberian subsidi upah, kerajaan juga cuba mengurangkan kos operasi syarikat dengan membenarkan pengurangan kadar caruman syarikat kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sekarang ini, kita diminta mencarum 12 peratus untuk mereka yang bergaji lebih RM5,000. 13 peratus untuk mereka bergaji kurang RM5,000. Jadi kalau kurangkan caruman majikan KWSP kepada lima peratus sebagai contoh untuk masa tertentu, jadi kita ada aliran tunai di situ untuk lapan peratus dan tujuh peratus. Ini sudah pasti dapat membantu syarikat untuk lebih bertahan lebih lama.

Melihat kepada keadaan semasa ekonomi, apakah yang akan berlaku kepada kadar upah di Malaysia? Dapatkah gaji minimum RM1,200 dipertahankan?

MEF mencadangkan kepada kerajaan bahawa gaji minimum RM1,200 perlu digantung buat sementara waktu. Kita lihat bahawa siapakah sebenarnya mendapat faedah daripada gaji minimum berkenaan. Di Malaysia, statistik mengatakan bahawa mereka bergaji kurang RM2,000 adalah kira-kira 1.2 juta pekerja. Jadi kita lihat siapakah mereka ini. Kita ada pekerja asing berjumlah 2.2 juta.

Di sini saya membuat kesimpulan bahawa majoriti penerima faedah gaji minimum diperkenalkan kerajaan adalah untuk pekerja asing. Kita juga menyatakan bahawa oleh kerana ada peningkatan RM100 daripada RM1,100 sebulan, maknanya kalau ia dikekalkan, pekerja asing akan menghantar pulang tambahan RM4 bilion setahun ke negara masing-masing.

Jadi mereka menghantar kira-kira RM34 bilion setahun dan dengan tambahan berkenaan, wang Malaysia akan keluar lebih banyak lagi dan sudah tentu kami mencadangkan kepada kerajaan supaya gantung sahaja gaji minimum RM1,200 sebulan untuk satu masa tertentu.

Bagaimana pula dengan gaji pekerja tempatan? Adakah akan berlaku penurunan?

Kebanyakan syarikat sudah mengambil langkah penjimatan kos seperti pemotongan gaji. Syarikat-syarikat besar sudah mengemukakan pemotongan gaji sehingga 30 peratus, tetapi pada masa ini langkah itu hanya dihadkan kepada mereka yang berada dalam lingkungan pengurusan.

Jadi kalau kita lihat semasa PKP diumumkan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat arahan supaya syarikat membayar gaji penuh semasa PKP. Tetapi arahan itu sudah tentu menjadi satu tekanan yang besar kepada syarikat berkenaan. MEF merasakan arahan kerajaan berkenaan akan menambahkan lagi masalah kepada syarikat-syarikat.

Apakah strategi Exit Plan yang perlu dilakukan kerajaan selepas ini?

Sebenarnya kita melihat keadaan di mana ada berita-berita dari negara China menyatakan bahawa walaupun mereka mendakwa berjaya menentang penularan Covid-19, tetapi ada kes-kes baharu dikesan. Begitu juga di Korea di mana ada yang telah sembuh Covid-19 tetapi akhirnya dijangkiti semula.

Ini sesuatu perkara yang harus dilihat lebih teliti oleh kerajaan dalam aspek bagaimana membendung kejadian sedemikian daripada berlaku. Kalau kita lihat apa berlaku di Singapura, mereka tidak menggunakan konsep PKP, tetapi membenarkan syarikat beroperasi dan kesannya adalah mereka menghadapi banyak penularan Covid-19. Jadi, selepas PKP pun kita harus mengikuti SOP jelas dan ketat supaya kita dapat mengekang daripada kembalinya Covid-19. Selepas itu, kita haruslah membuat rangsangan ekonomi terutama untuk merancakkan kegiatan ekonomi dalam negara.

Selepas kehilangan kerja, adakah ini akan menyebabkan ‘pekerjaan 3D’ iaitu kotor, bahaya dan sukar yang selama ini diisi oleh pekerja asing akan menjadi pilihan rakyat tempatan?

Semasa kegawatan ekonomi Asia tahun 1997 dan 1998, kita pada masa itu telah menghantar pulang lebih 800,000 pekerja asing. Daripada 15,000 pekerja yang diberhentikan sekarang, kira-kira 20 peratus adalah pekerja pekerja asing. Bukan semua pekerjaan dilakukan pekerja asing itu adalah pekerjaan 3D.

Namun, kita harus mengubah pekerjaan berkenaan kepada sesuatu yang lebih menarik. Kalau kita lihat dahulu pekerjaan tukang masak kurang diminati orang tempatan kerana tidak glamor dari segi sosial. Tetapi apabila pekerjaan itu dijenamakan semula sebagai cef, ramai anak muda berlumba-lumba untuk menjadi cef. Ini satu contoh elok supaya kita menjenamakan semula pekerjaan kita kepada sesuatu lebih menarik.

Bos MEF tanam sayur sepanjang PKP

Untuk hilangan tekanan kita perlu mempunyai satu hobi yang boleh dilakukan semasa PKP ini. Sebagai contoh saya suka bercucuk tanam. Semasa PKP ini saya tak boleh pergi bekerja, di rumah itu saya tanam sedikit sayur-sayuran. Ini perkara yang boleh dilakukan oleh mereka di rumah. Ia tidak menggunakan kos yang tinggi. Ia boleh memberikan kepuasan kepada kita. Saya cuma tanam di beranda rumah sahaja. Sebenarnya jika kita mempunyai 10 hingga 15 pasu, untuk tempoh seminggu kita sudah boleh petik sayurnya. Itu sesuatu yang harus kita lakukan tanpa memerlukan sayur di pasar.

Pandangan terhadap norma baharu pasca-Covid19

Saya mengharapkan agar Covid-19 dan PKP ini membuka mata kita supaya lebih bersedia dengan perkara seumpama ini. Banyak syarikat pada masa ini terkesan dengan apa yang berlaku dengan masing-masing tidak tahu apa yang sepatutnya dibuat. Sebab itu sebagai satu norma baharu, kita perlu ada pelan kontigensi apa yang perlu dilakukan.

Sebagai contoh kerajaan kata bahawa apabila berlaku kegawatan ekonomi kita berunding untuk pengurangan operasi tetapi dalam aspek 15 juta pekerja dan lebih satu juta majikan mahu berunding ia akan mengambil satu masa yang lama. Tetapi kalau kerajaan mengatakan jika berlaku perkara seumpama ini, mereka katakan ini langkah yang perlu diambil dengan membantu majikan dan pekerja untuk meneruskan kelangsungan dengan lebih panjang.

Tak guna jika kita berunding tetapi kita tahu pekerja tidak akan bersetuju dan pada akhirnya lebih senang untuk gulung tikar. Saya rasa kita perlu peka kepada keperluan kedua-dua pihak dan kerajaan memudahkan perkara ini.

Nasihat kepada penjual nasi lemak

Saya merasakan bahawa kita seharusnya lebih inovatif. Sepatutnya kita cuba pelbagaikan perniagaan kita. Sebagai contoh, penjual nasi lemak, bagaimana kita nak katakan bahawa nasi lemak kita itu berlainan daripada orang lain agar kita mendapat pasaran lebih baik.

Kalau kita kata terlalu ramai dalam industri tertentu, kita harus fikirkan bagaimana kita mahu membuat sesuatu yang baharu. Sebagai contoh, dahulu kita kata khidmat pembeli peribadi (personal shopper) tidak banyak dilakukan tetapi dalam masa PKP, ada pembeli peribadi. Bagaimana perkara ini boleh diteruskan selepas PKP. Adakah ia satu perniagaan mampan atau selepas ini tidak ada lagi. Jadi ini yang harus difikirkan. Saya rasakan persatuan-persatuan perniagaan perlu melihat bagaimana ahli-ahli mereka harus dibantu supaya mereka lebih maju lagi selepas PKP kelak.

Masalah kerja dari rumah semasa wabak

Sebenarnya kerja dari rumah ini merupakan satu perkara yang agak baharu dan kita tiada garis panduan yang jelas. Jadi pihak kerajaan, majikan dan persatuan boleh berbincang mengenai apa yang boleh dilakukan. Sebagai contoh sekarang ini di pihak Perkeso jika pekerja itu mendapat kemalangan di rumah, adakah ia dikira sebagai kecederaan ketika bertugas? Tentu sahaja tidak kerana ia tidak keluar dari rumah.

Saya merasakan perundangan juga harus selari dengan situasi semasa supaya semua perkara itu dilihat. Sudah tentu bila kerja dari rumah, kita perlukan capaian internet yang baik tetapi setakat ini ia kurang baik di negara kita.

Walaupun di Kuala Lumpur ada sesetengah tempat sukar untuk kita menggunakan broadband.