Berang hidup dikawal, wanita upah bunuh bapa mentua

KANPUR - Tidak puas hati kerana sering dipantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan ditegur mengenai gaya hidupnya, seorang wanita di India didakwa mengupah bekas pekerja keluarganya untuk membunuh bapa mentua.
Mangsa, Vineet Minocha, 63, seorang ahli perniagaan farmaseutikal ditemui mati dengan 26 kesan tikaman di dalam apartmennya di Kanpur, Uttar Pradesh pada malam Sabtu.
Siasatan polis pada awalnya membawa kepada penahanan bekas pekerja keluarga, Vishal, 30, bersama seorang lagi lelaki, Raj Kishore.
Kes itu bagaimanapun melalui perkembangan baharu selepas Vishal mendakwa pembunuhan tersebut dilakukan atas arahan menantu mangsa, Shalu, 36, yang menjanjikan bayaran kepadanya.
Shalu kemudian ditahan dan menurut penyiasat, wanita itu pada mulanya cuba mengelirukan pihak berkuasa sebelum didakwa mengakui penglibatannya ketika disoal siasat.
Menurut penyiasat, Shalu mendakwa bapa mentuanya sering memantau aktiviti di dalam kediaman menerusi CCTV selain membantah tindakannya menghadiri parti hingga lewat malam atau pulang lewat.
Dia turut mendakwa terpaksa meminta wang daripada bapa mentuanya walaupun untuk perbelanjaan kecil bagi dirinya dan suami.
Hubungan mereka dipercayai semakin tegang selepas berlaku pertengkaran pada 28 Julai apabila Shalu pulang lewat daripada sebuah parti.
Penyiasat mendakwa Shalu kemudian menawarkan 600,000 rupee (RM25,697) kepada Vishal untuk membunuh bapa mentuanya.
Daripada jumlah itu, 200,000 rupee (RM8,565) didakwa dijadualkan dibayar pada 6 September, manakala baki 400,000 rupee (RM17,131) dijanjikan 15 hari kemudian.
Shalu juga didakwa menyediakan kunci pendua apartmen kepada Vishal sebelum rancangan pembunuhan dimuktamadkan.
Rancang kematian seperti serangan jantung
Pada malam kejadian, Shalu dilaporkan keluar menghadiri parti bersama suaminya, Subrat dan anak mereka.
Tidak lama kemudian, Vishal dan Raj Kishore tiba di apartmen sebelum dibenarkan masuk selepas Shalu didakwa memberitahu pengawal keselamatan bahawa kedua-dua lelaki itu datang untuk menghantar ubat.
Menurut penyiasat, rancangan asal adalah untuk melemaskan mangsa menggunakan bantal supaya kematiannya kelihatan seperti akibat serangan jantung.
Namun, kedua-dua suspek yang bersembunyi di bilik anak mangsa didakwa menyerang Vineet menggunakan pisau apabila dia memasuki bilik tersebut.
Mangsa ditikam sebanyak 26 kali sebelum kedua-duanya melarikan diri.
Shalu dan suaminya dilaporkan pulang kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan sebelum menemui mangsa berlumuran darah.
Polis mendapati tiada barangan berharga hilang dari apartmen, sekali gus menimbulkan syak sejak awal bahawa pembunuhan itu bukan bermotifkan rompakan.
Shalu kini ditahan, manakala polis turut meneliti rekod panggilan Subrat bagi menentukan sama ada dia mengetahui rancangan tersebut atau mempunyai sebarang penglibatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

