Polis rakam keterangan enam pendaki

BAGAN SERAI - [DIKEMAS KINI] Polis akan merakam keterangan enam individu yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan yang ditemukan selamat semalam selepas dilaporkan hilang ketika mendaki gunung itu pada 29 Ogos.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua mangsa akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi proses dokumentasi selepas dibawa keluar dari Pos Kemar.
"Kesemua mangsa akan dibenarkan pulang ke tempat masing-masing selepas proses dokumentasi berkenaan.
"Mereka juga dilaporkan berada dalam keadaan sihat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini pada Selasa.
Ditanya sama ada menjadi satu kesalahan pasangan suami itu membawa dua orang anak mereka melakukan aktiviti pendakian tersebut, Mohd Alwi berkata ,keempat-empat individu itu mempunyai permit yang sah.
"Sebenarnya, perkara itu (membawa anak mendaki) tidak menjadi satu isu sebab dalam permit itu memang dimasukkan butir-butir berkaitan dengan keluarga mereka," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Hilang ketika mendaki: Wan Ahmad Aslam, isteri dua anak masih belum ditemui
Enam termasuk empat sekeluarga, dua malim gunung dikhuatiri hilang di hutan
Enam individu hilang: Bomba sedang kumpul maklumat sebelum selaras tindakan
Terputus hubungan, budak 9 tahun antara enam pendaki dikhuatiri hilang
Terdahulu, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, telah dikesan selamat malam tadi sebelum dibawa menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Pos Kemar.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama kesemua mangsa telah keluar dari Pos Kemar 8.30 pagi tadi dan tiba di Jeti Trojan, Tasik Banding pada 10.20 pagi sebelum dibawa ke IPD Gerik.
Sebelum ini, enam mangsa itu dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos. Mereka dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 September dan ahli keluarga membuat laporan polis pada Ahad.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
