Bicara kes bunuh Sabari: Tujuh saksi dipanggil

Sabari Baharom
Sabari Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai tujuh saksi awam dipanggil memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes bunuh pesara Felcra, Sabari Baharom di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Saksi yang dipanggil terdiri daripada dua anak kandung, seorang rakan Sabari dan pemilik rumah dalam pembinaan.

Saksi lain ialah isteri kepada tertuduh pertama, rakan serumah tertuduh kedua dan seorang lagi merupakan pemilik akaun bank.

Prosiding di hadapan Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee itu dijangka berjalan selama empat hari hingga Khamis ini.

Pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Abd Halim, Kamaliza Md Zain dan Nur Huda Diyanah Amir Hamzah.

Peguam Ali Munawar Razak mewakili tertuduh pertama, Mazuan Hanafi, 40, manakala Mohd Fadhly Yaacob mewakili Muhd Asyraf Idris, 28.

Barang kes berkaitan kejadian yang dibawa ke mahkamah hari ini termasuk topi keledar, pakaian tertuduh dan dokumen milik mangsa.

Barang kes dibawa ke Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Isnin.
Barang kes dibawa ke Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 April 2025, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Mazuan, seorang kontraktor dan anak saudaranya, Muhd Asyraf didakwa secara bersama membunuh Sabari di Titi Kampung Empa, Sungai Padang Terap, Kubang Pasu pada kira-kira jam 5.30 pagi, 4 September 2024.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan, jika tidak dihukum mati.

Media sebelum ini melaporkan, Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, disedari hilang sejak 4 September 2024.

Bagaimanapun, kereta Proton Waja Sabari ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 September 2024.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!