Kes kontraktor, anak saudara didakwa bunuh Sabari disebut semula

Laporan Sinar Harian berkaitan kontraktor, anak saudara didakwa bunuh Sabari.
Laporan Sinar Harian berkaitan kontraktor, anak saudara didakwa bunuh Sabari.
A
A
A

ALOR SETAR - Kes seorang kontraktor lelaki dan anak saudaranya yang didakwa membunuh pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, pada 4 September tahun lalu telah disebut semula di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Selasa.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh Mazuan Hanafi, 39, dan Muhd Asyraf Idris, 27, yang berada di kandang pertuduhan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mazuan dan Muhd Asyraf didakwa secara bersama membunuh Sabari di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap di daerah Kubang Pasu, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 4 September tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md Zain dan kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam, T Jayaraj.

Semasa prosiding penetapan semula tarikh sebutan kes, Jayaraj memohon sebutan tersebut dipercepatkan dan mahkamah membenarkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Turut hadir pada prosiding berkenaan adalah anak-anak Allahyarham Sabari iaitu Dr Suraiya Izzaty, 30, dan Muhammad Amir Hakimi, 26, serta abang Allahyarham iaitu Ismail, 70, bersama beberapa ahli keluarga lain lagi.

Dr Suraiya semasa ditemui di luar kamar mahkamah kelihatan sedih namun berharap proses perbicaraan kes pembunuhan bapanya itu berjalan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Mereka (dua suspek) mengaku tidak bersalah, saya harap semuanya lancar dan ada keadilan buat ayah," katanya dengan sebak.

Pada 20 Mac lalu media melaporkan, Mahkamah Majistret Jitra membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Majistret Nurul Huda Idris memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien.

Media sebelum ini melaporkan Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 September 2024 dan kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 September 2024.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat susulan penahanan dua lelaki itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!