Tiada pergolakan dalam Kerajaan Perpaduan - PKR

Lih Kang
Lih Kang
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan berlakunya sebarang perubahan atau pergolakan dalam kalangan rakan komponen Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang berkata, hubungan baik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih dikekalkan dalam mengurus pentadbiran negara.

Menurut beliau, perkara berkaitan politik perlu dilihat dalam konteks yang berasingan.

“Setakat ini tak ada, malah minggu-minggu lepas pun semua menteri UMNO menghadiri mesyuarat Kabinet dan kita bincang secara serius isu-isu negara.

“Kita tidak sembang politik dalam mesyuarat Kabinet. Bab-bab politik ini berkaitan urusan parti.

“Tetapi setakat ini saya mengesahkan bahawa tiada apa-apa pergolakan,” katanya kepada pemberita selepas Pertandingan Akhir Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara (NIH), di sini pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak menjemput PH ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 serta pertemuannya dengan beberapa pemimpin pembangkang di luar negara yang mencetuskan spekulasi.

Bloomberg pada Jumaat melaporkan, berdasarkan sumber yang mengetahui perkara itu, bahawa hubungan Anwar dan Ahmad Zahid dikatakan semakin merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini, antaranya susulan persaingan politik di Johor dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!