Pavilion Negeri Sembilan di MAHA akan ditambah baik

Razali
Razali
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengambil maklum pelbagai pandangan, teguran dan komen orang ramai berhubung Pavilion Negeri Sembilan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata, setiap pandangan yang diberikan masyarakat dilihat sebagai input penting bagi melakukan penambahbaikan pada masa akan datang.

Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar berkaitan sebuah pavilion, sebaliknya menyentuh soal bagaimana wajah, identiti dan potensi Negeri Sembilan diketengahkan kepada pengunjung dari seluruh negara.

"Untuk pengetahuan semua, Pavilion 'kekal' Negeri Sembilan di MAHA ini merupakan projek yang telah diperuntukkan melalui Belanjawan Negeri Sembilan 2025, diluluskan dan dimulakan di bawah pentadbiran sebelum Pilihan Raya Negeri(PRN) 2026.

"Proses pembinaan dan penyempurnaannya pula berlangsung sehingga tahun 2026 dan disiapkan di bawah pentadbiran baharu," katanya di Facebook.

Di media sosial, pelbagai kritikan disuarakan oleh warganet berkenaan Pavilion Negeri Sembilan di MAHA 2026 yang disifatkan 'sendu'.

Jelas Razali, projek berkenaan bukan merupakan projek di bawah portfolionya, sebaliknya disiapkan dalam tempoh lapan bulan dengan kos hampir RM3 juta sebelum digunakan semasa MAHA 2026.

Tambahnya, pavilion berkenaan kini menjadi sebahagian daripada aset Negeri Sembilan dan perkara yang lebih penting adalah memastikan aset yang telah dibangunkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin serta memberi impak maksimum kepada rakyat dan negeri.

"MAHA 2026 merupakan platform besar untuk memperkenalkan makanan, usahawan, produk tempatan, teknologi pertanian, industri asas tani, budaya, warisan, pelancongan, agropelancongan serta peluang ekonomi Negeri Sembilan kepada masyarakat di seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu, setiap teguran dan pandangan masyarakat kita terima sebagai input untuk penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata, konsep, reka bentuk, persembahan, kandungan dan pengalaman pengunjung perlu dinilai semula bagi memastikan penyertaan Negeri Sembilan pada MAHA akan datang lebih berkesan.

“Kita mahu apabila seseorang melangkah masuk ke Pavilion Negeri Sembilan, mereka bukan sekadar melihat produk, tetapi merasai Negeri Sembilan.

Mengenali makanan kita, usahawan kita, budaya kita, Adat Perpatih, warisan, produk tempatan dan destinasi pelancongan yang kita ada,” katanya.

Dalam pada itu, Razali menegaskan kerajaan negeri tidak memandang ringan pandangan yang disuarakan masyarakat berhubung pavilion berkenaan.

“Apa yang sudah ada, kita manfaatkan sebaik mungkin. Apa yang masih kurang, kita perbaiki. Apa yang mempunyai potensi, kita tambah nilainya.

"Kita tidak perlu terus melihat ke belakang. Tanggungjawab kita sekarang ialah memastikan apa yang telah dirancang dan dibangunkan dapat dimanfaatkan dengan lebih baik demi rakyat dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, pandangan masyarakat akan turut diambil kira dalam merancang penyertaan Negeri Sembilan pada MAHA akan datang.

“Kita mahu Pavilion Negeri Sembilan bukan sekadar ‘ada’ di MAHA, tetapi menjadi ruang yang menarik orang untuk datang, membuat mereka mengenali Negeri Sembilan dan akhirnya membuat mereka mahu berkunjung sendiri ke negeri kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!