Agro Quest 2026 perkasa bakat agropreneur muda

Mohamad (tengah) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Datuk Seri Isham Ishak (empat dari kanan) bersama para pemenang Agro Quest 2026.
Mohamad (tengah) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Datuk Seri Isham Ishak (empat dari kanan) bersama para pemenang Agro Quest 2026.
A
A
A

SHAH ALAM – Agrobank terus menyokong pembangunan bakat dan keusahawanan belia agromakanan menerusi penglibatannya dalam Agro Quest 2026.

Program realiti berkonsepkan agro edutainment anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu menggabungkan elemen pendidikan, pertandingan dan hiburan dalam 13 episod.

Penglibatan Agrobank merangkumi sesi libat urus, latihan dan bimbingan keusahawanan bagi membantu peserta memperkukuh kefahaman serta kemahiran dalam aspek perniagaan.

Agro Quest mengetengahkan sektor pertanian, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian dan peluang kerjaya dan keusahawanan dalam bidang agromakanan melalui sesi pendidikan (masterclass), cabaran praktikal, penilaian juri dan proses penyingkiran sehingga ke peringkat akhir.

Daripada 12 calon yang disaring, enam peserta dipilih untuk mengikuti siri cabaran yang memberi pendedahan kepada pelbagai bidang termasuk pertanian bandar, teknologi dron, automasi, Internet of Things (IoT), pemprosesan makanan, perikanan dan pemasaran pertanian.

Peserta turut dinilai dari aspek kepimpinan, komunikasi, kreativiti, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, selain memupuk minat golongan muda terhadap sektor agromakanan dan menyokong agenda keterjaminan makanan negara, Agro Quest turut memberi pendedahan bahawa kejayaan membina perniagaan dalam sektor ini memerlukan lebih daripada sekadar modal.

“Untuk menjadi usahawan, pembiayaan sahaja tidak mencukupi. Minat untuk belajar dan meneroka, disertai pengetahuan, bimbingan serta kefahaman mengenai pengurusan perniagaan, menjadi asas penting sebelum sesuatu idea dapat dikembangkan dengan lebih teratur.

“Agro Quest memberi peluang kepada peserta menguji pengetahuan dan idea mereka melalui cabaran sebenar, sekali gus membantu mereka melihat bagaimana teknologi, pengurusan dan perancangan perniagaan saling berkait dalam membangunkan perusahaan agro yang berdaya maju,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kemuncak Agro Quest 2026 menyaksikan Pembentangan Akhir Rancangan Perniagaan Pertanian (Final Pitching) berlangsung di MAHA 2026, MAEPS Serdang.

Agrobank turut terlibat sebagai salah satu panel juri dalam menilai cadangan perniagaan peserta berdasarkan potensi dan kebolehlaksanaan idea yang diketengahkan.

Sebagai pengiktirafan kepada pencapaian peserta, Agro Quest 2026 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM23,000 kepada tiga pemenang bagi kategori johan, naib johan dan tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mana Muhammad Al Ahnaf Mohd Roslan dinobatkan sebagai johan, diikuti Muhammad Farez Aiman Marzuki sebagai naib johan dan Muhammad Najmi Muhammad Yusof di tempat ketiga.

Ketiga-tiga pemenang turut menerima tawaran prakelulusan pembiayaan Micro Relief Programme (MRP) Agrobank sehingga RM100,000, tertakluk kepada terma dan syarat.

Melalui program seumpama itu, Agrobank akan terus menyokong pembangunan modal insan dan keusahawanan dalam sektor agromakanan, sekali gus melahirkan generasi pelapis yang berupaya memacu pertumbuhan industri serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!