Belanja RM1.69 bilion, Spurs masih tumpul

Zerbi mahu jentera serangan Spurs lebih tajam di depan gawang lawan. Foto: Agensi
Zerbi mahu jentera serangan Spurs lebih tajam di depan gawang lawan. Foto: Agensi
A
A
A

LEBIH 300 juta pound (RM1.69 bilion) dibelanjakan Tottenham Hotspur untuk membina semula skuad, namun pelaburan besar itu masih belum menghasilkan kemenangan mahupun gol selepas mereka seri 0-0 dengan Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), pada Ahad.

Pengurus Spurs, Roberto De Zerbi mengakui pasukannya perlu lebih tajam di kawasan serangan selepas sekali lagi gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki.

"Saya fikir kami bermain dengan baik, tetapi kami perlu memperbaiki lagi corak permainan," kata pengendali dari Itali itu.

Zerbi bagaimanapun percaya Spurs sebenarnya mempunyai peluang untuk menghasilkan tiga atau empat gol dalam perlawanan berkenaan, namun keputusan yang kurang tepat menyebabkan peluang terbabit gagal diterjemahkan kepada jaringan.

"Saya fikir kami boleh menjaringkan tiga atau empat gol hari ini kerana jika anda membuat keputusan yang salah, anda tidak akan menjaringkan gol. Tetapi bagi saya, ia tetap peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Keputusan di City Ground itu menyaksikan Spurs meraih mata pertama musim ini selepas tewas dalam dua perlawanan pembukaan.

Namun, mereka masih belum menjaringkan gol selepas tiga aksi liga, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketajaman serangan selepas kelab berbelanja besar pada jendela perpindahan.

Kegagalan mendapatkan Iliman Ndiaye daripada Everton pada penghujung jendela perpindahan turut mengehadkan pilihan Spurs di posisi penyerang.

Lebih-lebih lagi apabila Richarlison, penjaring terbanyak kelab musim lalu, tidak disenaraikan dalam skuad EPL, menyebabkan Dominic Solanke menjadi penyerang tulen utama mereka.

Artikel Berkaitan:

Marmoush mempunyai peluang terbaik sebelum rehat, tetapi rembatan pemain itu tersasar, manakala Solanke hampir memecahkan kebuntuan selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Spurs turut gagal menghasilkan satu pun percubaan tepat ke sasaran, kali pertama mereka mencatat statistik berkenaan dalam EPL sejak April 2022.

Mereka juga kini gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan liga berturut-turut, sesuatu yang kali terakhir berlaku pada November 2021.

Zerbi bagaimanapun kekal yakin masalah itu boleh diperbaiki, malah percaya Marmoush mempunyai kualiti untuk menjaringkan 12 hingga 15 gol musim ini jika terus meningkatkan permainannya.

Bagi Spurs, masa semakin suntuk untuk membuktikan bahawa perbelanjaan besar mereka benar-benar mampu mengubah nasib pasukan selepas tiga aksi liga tanpa kemenangan dan jaringan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!