Dentuman dari langit gegar Bandung, punca masih jadi teka-teki

Fenomena sama dikatakan pernah berlaku di Bogor pada April 2020. - Foto Agensi
Fenomena sama dikatakan pernah berlaku di Bogor pada April 2020. - Foto Agensi
A
A
A

BANDUNG - Dentuman misteri yang menggegarkan Bandung Raya dari lewat malam hingga awal pagi Sabtu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk ketika beberapa gunung berapi di Indonesia turut meletus.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) kemudiannya tampil untuk memberi penjelasan tentang bunyi aneh tersebut.

Berdasarkan analisis data pemantauan, BMKG mengklasifikasikan kejadian itu sebagai fenomena ‘skyquake’ atau dentuman dari langit yang sehingga kini masih belum dapat dikenal pasti punca utamanya.

Ketua BMKG Stesen Geofizik Kelas I Bandung, Suaidi Ahadi berkata, pihaknya telah memeriksa semua instrumen pemantauan geofizik dan meteorologi termasuk data gempa bumi, aktiviti kilat, keadaan cuaca serta anomali medan magnet bumi bagi tempoh kejadian antara 11 malam hingga 5 pagi (waktu tempatan).

Hasil pemantauan mendapati keadaan cuaca di Bandung Raya agak cerah dan tiada aktiviti gempa bumi tempatan dikesan di kawasan Sesar Lembang, Sesar Cimandiri dan sesar aktif lain.

Teguh memaklumkan fenomena sama pernah berlaku di Bogor pada April 2020. Kebiasaannya, bunyi dentuman di daratan boleh berpunca daripada gempa bumi berkelompok (swarm earthquake) atau siri gempa kecil yang berlaku berturut-turut seperti ketika gempa Cianjur pada 2022.

Apa yang menarik, imej satelit Himawari dan data daripada stesen medan magnet bumi di Serang dan Sukabumi menunjukkan gangguan anomali magnetik serta aktiviti ribut petir yang tinggi di kawasan Gunung Anak Krakatau ketika berlaku letusan gunung berapi.

Namun begitu, kaitan antara dentuman di Bandung dengan aktiviti Anak Krakatau masih menjadi persoalan dalam kalangan saintis.

“Penduduk di Banten, Jakarta dan Bogor yang lebih dekat tidak melaporkan atau membincangkan bunyi dentuman tersebut. Fenomena itu hanya dilaporkan berlaku di Bandung dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dari segi jarak dan geografi, letusan Krakatau pada skala biasa dianggap terlalu jauh untuk bunyinya sampai ke lembangan Bandung Raya, apatah lagi tanpa dikesan di kawasan-kawasan yang terletak di kawasan berhampirannya. - Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!