Suspek kes curi rantai emas RM36,500 dicekup

IPOH - Seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes kecurian seutas rantai emas di sebuah kedai emas di Batu Kurau, Larut, kelmarin berjaya ditahan polis, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Ramzi Mahmudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kecurian seutas rantai emas bernilai kira-kira RM36,500 di premis itu pada kira-kira jam 3.15 petang kelmarin.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 30 tahun itu telah mengunjungi premis berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada Rabu dan Khamis lepas sebelum menyamar sebagai pelanggan dan melarikan barang kemas tersebut.
"Hasil siasatan dan tindakan pantas, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan pada awal pagi semalam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan. Suspek telah direman selama empat hari dari 4 hingga 7 Sept bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ramzi berkata, pihak polis turut menjalankan tindakan lanjut dengan bantuan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta dalam bangunan. - bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
