Langkah terpuji ketika negara lain diuji

SEJAK dahulu lagi, Malaysia telah membuktikan komitmen untuk membantu mana-mana negara yang terkesan akibat bencana besar yang mengorbankan ribuan nyawa.
Sekadar berkongsi beberapa contoh seperti misi kemanusiaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pasca-gempa bumi di Naypyidaw, Myanmar, selain gempa bumi di Turkiye, peranan pasukan dari negara kita bukanlah kecil.
Justeru, apabila kerajaan telah memohon kebenaran Nepal untuk mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) susulan bencana banjir di negara itu, ia satu lagi langkah terpuji ketika negara lain diuji.
Inilah sikap Malaysia yang dari dahulu lagi mencerminkan kemurnian hati serta kesediaan membantu masyarakat antarabangsa yang sedang derita.
Apatah lagi dalam konteks Nepal ini, ada rakyat negara ini yang masih belum diketahui nasibnya selepas turut menjadi mangsa dalam tragedi yang mengundang simpati dunia itu.
Sehingga kini dilaporkan ribuan lagi belum ditemui dengan jumlah yang cedera juga ramai, belum mengambil kira mereka yang kehilangan tempat tinggal yang lenyap ditelan arus ganas.
Ada beberapa sudut pandang yang perlu diteliti mengenai usaha Malaysia untuk menyalurkan khidmat bakti anggota SMART.
Pertama, kita sudah buktikan kata-kata orang yang Malaysia hanya cakna dengan isu membabitkan Gaza serta umat Islam itu tidak berasas sama sekali.
Nepal merupakan negara yang lebih 80 peratus penduduknya bukan Islam dan itu menunjukkan kita tidak memilih untuk turut sama menghulur tangan.
Kedua, mengenai sikap kita dalam membantu negara luar yang berdepan ujian. Sebelum ini, acapkali Malaysia lebih terkedepan dalam membantu sesiapa saja yang memerlukan.
Bagaimanapun, setakat petang Khamis, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Nepal tidak mahu menerima pasukan mencari dan menyelamat dari luar negara termasuk SMART, bagi membantu operasi bencana di negara itu.
Namun yang pasti, Malaysia tetap siap sedia menghulurkan segala bantuan dan keringat terutamanya nasib rakyat kita sendiri di sana masih belum diketahui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
