MATTA, Alibaba Cloud meterai MoU percepat transformasi AI, digital industri pelancongan

(Dari kiri) Pengarah Pembangunan Perniagaan Alibaba Cloud Intelligence, Millie Yong Boon Hwei; Timbalan Pengurus Besar Wilayah Asia Tenggara merangkap Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Choong Hon Keat; Presiden MATTA, Nigel Wong dan Timbalan Presiden MATTA, Mohd Hizzat
(Dari kiri) Pengarah Pembangunan Perniagaan Alibaba Cloud Intelligence, Millie Yong Boon Hwei; Timbalan Pengurus Besar Wilayah Asia Tenggara merangkap Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Choong Hon Keat; Presiden MATTA, Nigel Wong dan Timbalan Presiden MATTA, Mohd Hizzat
A
A
A

PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Alibaba Cloud, penyedia global terkemuka bagi pengkomputeran awan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tulang belakang kecerdasan Alibaba Group, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) meneroka kerjasama menyeluruh dalam mempercepatkan transformasi digital, penerimagunaan AI dan penyelesaian pelancongan pintar dalam industri pengembaraan dan pelancongan Malaysia.

Kolaborasi menghimpunkan rangkaian luas pemain industri pengembaraan dan pelancongan MATTA dengan kepakaran Alibaba Cloud dalam pengkomputeran awan, AI dan teknologi digital.

Ia bertujuan membantu perniagaan pelancongan menjadi lebih inovatif, berdaya saing dan bersedia dari segi digital dalam landskap pelancongan global yang semakin dipacu teknologi.

Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen MATTA memastikan industri pengembaraan dan pelancongan Malaysia kekal bersedia menghadapi masa depan serta mampu memanfaatkan peluang yang ditawarkan AI dan teknologi digital.

“Transformasi digital bukan lagi satu pilihan tetapi merupakan komponen penting dalam daya saing masa depan industri pengembaraan dan pelancongan.

“Melalui kerjasama dengan Alibaba Cloud ini, MATTA berharap dapat memberikan ahli kami akses lebih luas kepada pengetahuan, teknologi dan penyelesaian praktikal yang dapat membantu mereka meningkatkan produktiviti, mempertingkat pengalaman pelanggan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kerjasama itu turut menyokong usaha MATTA menggalakkan inovasi dan penerimagunaan teknologi merentasi ekosistem pelancongan.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Wilayah Asia Tenggara, Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Choong Hon Keat berkata, teknologi AI dan awan mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan pelancongan untuk meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh penglibatan pelanggan serta menyediakan pengalaman digital yang lebih diperibadikan.

“Melalui kerjasama dengan MATTA, kami berharap dapat membawa keupayaan teknologi dan kepakaran kami lebih dekat kepada rangkaian ahli yang luas, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menyokong mereka dalam meneroka kaedah praktikal untuk memanfaatkan AI bagi inovasi dan pertumbuhan.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama itu pada peringkat awal akan memberi tumpuan kepada penerokaan dan pembangunan inisiatif yang saling memberi manfaat, dengan program dan projek khusus akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak dari semasa ke semasa,” katanya.

Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai inisiatif termasuk penerimagunaan penyelesaian digital berkuasa AI dalam kalangan ahli MATTA, program pembangunan kapasiti dan latihan, pendigitalan PKS, pemasaran dan promosi pelancongan, inisiatif pelancongan pintar, penyelidikan dan pembangunan industri, selain penyertaan dalam acara industri serta program perkongsian pengetahuan.

Fokus utama kerjasama adalah menggalakkan ahli MATTA, khususnya PMKS dalam sektor pengembaraan, memanfaatkan teknologi baharu seperti AI, pengkomputeran awan, analitik data, e-dagang dan keselamatan siber bagi meningkatkan kecekapan operasi, penglibatan pelanggan, keupayaan pemasaran serta daya saing perniagaan secara keseluruhan.

Kerjasama turut meneroka penggunaan teknologi AI Alibaba Cloud, termasuk model AI proprietarinya Qwen dan ejen AI tempat kerja semua-dalam-satu, QwenWork, bagi menyokong pendigitalan perniagaan pengembaraan serta membangunkan aplikasi AI praktikal yang relevan dengan sektor pelancongan.

Teknologi berkenaan berpotensi menyokong perniagaan pelancongan dalam bidang seperti penglibatan pelanggan, produktiviti, penciptaan kandungan dan pengalaman digital yang diperibadikan, sekali gus membantu mereka menterjemahkan keupayaan AI kepada aplikasi perniagaan praktikal.

MATTA dan Alibaba Cloud juga meneroka peluang untuk menganjurkan bengkel, seminar, program pensijilan serta inisiatif perkongsian pengetahuan lain secara bersama bagi melengkapkan golongan profesional industri pelancongan dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menghadapi ekonomi digital yang berkembang pesat.

MoU itu turut menyediakan rangka kerja untuk kedua-dua pihak meneroka inisiatif pemasaran pelancongan melalui ekosistem dan platform digital Alibaba, termasuk peluang pemasaran digital rentas sempadan yang berpotensi bagi mempromosikan produk serta destinasi pelancongan Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

Menerusi kerjasama ini, MATTA dan Alibaba Cloud menyasarkan untuk menyumbang kepada pembentukan industri pelancongan Malaysia yang lebih berkeupayaan secara digital, inovatif dan dipacu teknologi, di samping mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan pengembaraan untuk bersaing secara berkesan dalam landskap pelancongan global yang terus berkembang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!