Projo ancaman bagi Prabowo?

Projo membabitkan advokasi dan interaksi dengan rakyat.
Projo membabitkan advokasi dan interaksi dengan rakyat.
A
A
A

BUDI Arie Setiadi membayangkan kemungkinan penggantian presiden lebih awal daripada tahun 2029. Beliau juga meramalkan ada kemungkinan pemilihan umum presiden (pilpres) akan dipercepat memandangkan keresahan masyarakat dan keadaan ekonomi Indonesia pada masa ini.

Beliau membuat kenyataan itu dalam satu majlis tertutup penyokong mantan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Isu ‘percepatan sejarah’ atau mempercepatkan dinamisme politik sebelum tahun 2029 adalah perkara yang sensitif. Maka apabila diucapkan oleh Budi Arie selaku Ketua Umum ‘Projo’ tentulah kesannya luar biasa. Secara mudah, Projo adalah pendekan daripada ‘Pro-Jokowi’. Ini merupakan sebuah organisasi massa yang ‘mendukung’ atau menyokong Jokowi.

Projo adalan gerakan relawan (sukarela) yang besar yang dimulakan pada 23 Disember 2013 sewaktu Jokowi masih presiden.

Seperti parti politik Projo mengadakan kongres tahunannya. Malah apabila Jokowi tidak lagi menjadi presiden pada tahun 2024, Projo masih aktif malah berpengaruh. Sebagai badan nasional Projo punya cabang di daerah hingga ke desa.

Projo membabitkan advokasi dan interaksi dengan rakyat. Lebih penting lagi Projo hadir dengan amat kuat dalam landasan media sosial. Mereka juga punya jurubicara (jubir) yang lantang di media elektronik khususnya dalam talk shows.

Maka itu gerakan ini unik. Saya tidak percaya pernah wujud organisasi massa setuntas ini menyokong mana-mana pemimpin dunia yang tidak lagi berada di tampuk kuasa. Tapi Projo berpengaruh semasa dan sesudah Jokowi menjadi presiden. Besar kemungkinan approval rating Jokowi yang sentiasa melebihi 80 peratus sewaktu beliau menjadi presiden akibat daripada gerakan ini.

Malah hari sebahagian rakyat Indonesia masih percaya Jokowi presiden mereka walaupun Prabowo Subianto telah mengambilalih pimpinan sejak dua tahun lalu.

Hari ini Projo menjadi suara paling lantang mempertahankan Jokowi dan keluarganya.Mereka lantang menyokong Jokowi dan Gibran Rakabuming Raka (wakil Presiden Indonesia) dalam Isu ijazah mereka. Jurubicara Projo, Andi Azwan yang juga ketua Umum Joman Nusantara Bersatu serta Silfester Matutina sentasa bersedia memberikan perspektif Jokowi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Silfester hilang daripada radar media massa disebabkan beliau sepatutnya berada di penjara akibat didapati bersalah oleh mahkamah kerana memfitnah bekas Presiden Jusuf Kalla.

Demikian kuat pengaruh Projo, orang seperti Silfester masih lepas bebas. Kekuatan Jokowi dalam politik Indonesia tidak boleh diambil mudah. Kalangan wartawan, pimpinan badan sivil, ilmuan dan penelaah politik banyak mengecam beliau dan dasarnya dan legasi hutang yang ditinggalkannya.

Tetapi pengaruh beliau sahaja yang boleh memenangkan Prabowo, dengan syarat Prabowo membawa anaknya Gibran sebagai wakil presiden dalam pilpres 2024. Prabowo sepatutnya terhutang budi. Malah bagi penalaah, Prabowo tidak ada pilihan melainkan melantik semula 17 orang menteri tumpahan era Jokowi, selain mengekalkan Ketua Polis, Ketua Tentera dan Ketua Peguam

Negara yang dilantik oleh Jokowi. Apakah makna di sebalik kenyataan Budi Arie itu? Ada yang mentafsirkan kenyataan itu dibuat oleh Budi Arie kerana kecewa dengan Prabowo. Beliau bekas Menteri Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) era Jokowi yang disambung oleh Prabowo. Nama beliau tercalar kerana dikaitkan dengan skandal judi online (judol) di kementeriannya.

Beliau dipindahkan ke Kementerian Koperasi. Pada 8 September 2025 beliau diberhentikan oleh Prabowo. Apakah alasan pemberhentian itu tidak jelas. Mungkin juga Prabowo merasakan bahawa Program Koperasi Merah Putih yang dicadangkannya itu tidak mampu dipikul oleh Budi Arie.

Kenyataan Budi Arie membangkitkan satu isu besar. Apatah lagi dinyatakan sewaktu Jokowi duduk di sebelahnya dan dipercayai ada lebih 60 orang pimpinan Projo waktu itu.

Apakah Projo mulai merasakan bahawa Prabowo telah mengkhianati janji-janjinya? Apakah Projo menganggap masanya sudah tiba untuk mereka menggerakkan dinamisme baharu politik Indonesia?

Maknanya mempersiapkan Gibran untuk menentang Prabowo sebagai Presiden dalam pilpres 2029? Jokowi berhak kecewa dengan Prabowo.

Walaupun pada dasarnya Probowo masih menghargai sokongannya dengan mengekalkan menteri dan pimpinan penting badan utama negara tetapi banyak juga dasar Jokowi yang tidak lagi diberikan perhatian oleh Prabowo. Contoh klasiknya ialah Ibu Kota Negara Nusantara. Lebih kritikal lagi Projo menganggap bahawa Probowo mulai meminggirkan Gibran.

Walaupun Jokowi memberitahu mereka yang hadir untuk meneruskan agenda Prabowo-Gibran sehingga 2029 tetapi banyak yang meyakini ‘kedekatan’ itu tidak lagi berlaku.

Daripada satu segi Prabowo mahu menjadi dirinya sendiri. Mungkin beliau sedar bahawa approval ratingnya kini sekitar 52 peratus, paling rendah bagi mana-mana presiden selepas dua tahun di tampuk pemerintahan.

Prabowo juga berdepan dengan pelajar yang berdemonstrasi, suasana ekonomi yang memburuk, tekanan daripada badan sivil dan macam-macam lagi. Janji-janji untuk menghapus rasuah tinggal janji.

Program Makan Berginzi Gratis (MBG) semakin tidak popular dan memakan korban wang yang banyak. Projek Koperasi Merah Putih belum pun sepenuhnya terlaksana tetapi kritikan terhadapnya semakin berkumandang.

Apakah semua itu memungkinkan Prabowo menjadi presiden yang semakin tidak popular? Beliau punya parti Gerindra di belakangnya tetapi beliau tidak ada gerakan massa seperti Projo.

Projo mempunyai bekas presiden yang masih sangat popular di kalangan orang banyak. Projo boleh menjadi gerakan massa yang sama berpengaruh dengan mana-mana parti politik.

Projo juga mendapat dokongan Parti Solidaritas Indonesia (PSI) yang Ketua Umumnya adalah anak Jokowi, Kaesang Pangerap. Apakah itu bukan ancaman bagi Prabowo? Apakah ramalan Budi Arie akan menjadi kenyataan?

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang dunia seni, budaya dan politik Indonesia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!