Petani di Perak lega

Yahanis (kanan), Norsiyenti dan Timbalan Pengarah FAMA Perak, Idris Tahir melihat buah betik yang dibeli daripada petani di pusat pengumpulan FAMA di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng.
Yahanis (kanan), Norsiyenti dan Timbalan Pengarah FAMA Perak, Idris Tahir melihat buah betik yang dibeli daripada petani di pusat pengumpulan FAMA di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng.
A
A
A

IPOH - Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan tempoh yang begitu mencabar.

Justeru, kerajaan Perak menjadi negeri terawal tampil dengan pelbagai inisiatif untuk memastikan kebajikan rakyat dijaga dengan baik.

Antara inisiatif yang diumumkan ialah pemberian Bantuan Kotak Makanan, Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin), Bantuan Penjaja dan Peniaga Kecil, pengecualian bayaran balik beberapa pembiayaan pinjaman usahawan serta pinjaman pendidikan.

Bagi golongan petani yang terjejas pendapatan, Skim AgroPrihatin sangat membantu ketika pembelian hasil tanaman mereka amat berkurangan sepanjang tempoh PKP.

Seorang petani, Mohd Erwan Khamis, 32, berkata, tanaman kakrol, timun tua dan parval yang diusahakannya sukar dijual kerana banyak premis perniagaan tutup malah peraih juga mengambil dalam kuantiti sedikit.

Katanya, dengan penghasilan kira-kira 800 kilogram (kg) bagi sekali tuai, tanamannya sukar untuk dipasarkan namun inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim AgroPrihatin melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) sangat membantu.

“Sumber pendapatan saya hanya hasil pertanian. Bila tak boleh nak jual memang risau sebab tak ada pendapatan. Mujurlah kerajaan negeri buat skim ini dan saya tak risau nak teruskan menanam,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Seorang lagi petani, M Jegathesan, 30, pula berkata, Skim AgroPrihatin yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri melegakan petani dan berbaloi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selama ini terdapat segelintir petani tidak yakin Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tetapi agensi itu sepatutnya menjadi pilihan utama mereka untuk memasarkan hasil dan bukan dijual kepada orang tengah.

“Saya bersyukur sangat dengan inisiatif kerajaan negeri ini kerana skim ini memang menyelamatkan kami daripada kerugian,” katanya.

Menurutnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dianggap sebagai hero kerana Skim AgroPrihatin yang dilancarkan 6 April lalu menyelamatkan petani daripada kehilangan sumber pendapatan ketika tempoh PKP.

Sementara itu, usaha kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Perak dalam mengekang penularan wabak Covid-19 turut membuahkan hasil apabila tiga daerah iaitu Kampar, Muallim dan Kuala Kangsar kini bebas jangkitan wabak itu sejak dua minggu lalu.

Selain Skim AgroPrihatin, Bantuan Kotak Makanan turut dilancarkan untuk rakyat yang memerlukan termasuk orang asli.
Selain Skim AgroPrihatin, Bantuan Kotak Makanan turut dilancarkan untuk rakyat yang memerlukan termasuk orang asli.

Sehingga 15 April lalu, seramai 27,871 petani di Perak mendapat manfaat hasil pelaksanaan Skim AgroPrihatin.

Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya berkata, daripada RM1 juta yang diperuntukkan, RM350,000 digunakan untuk membeli hasil tanaman petani yang tidak terjual.

Menurutnya, pelaksanaan skim itu turut mendapat sokongan kuat Jabatan Pertanian Perak dan FAMA Perak.

“Setakat ini RM350,000 iaitu kira-kira 200 tan buah-buahan dan sayur-sayuran dibeli oleh PPPNP. Kita beli hasil yang tidak terjual kerana pemborong masih membeli namun bukan dalam kuantiti sebelum ini,” katanya.

Yahanis berkata, kesemua hasil yang dibeli bukan sahaja dijual semula kepada peraih atau pemborong tetapi turut dihantar ke dapur berpusat Ipoh untuk menyediakan makanan kepada petugas barisan hadapan, selain diberikan secara percuma kepada rakyat memerlukan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi berkata, pelaksanaan Skim AgroPrihatin itu ternyata melegakan ahli-ahli PPK.

Katanya, di Hutan Melintang dan Bagan Datuk berlaku lambakan kelapa sepanjang PKP menyebabkan pekebun kecil hilang sumber pendapatan.

“Dengan adanya skim ini, pekebun kecil di sekitar daerah Bagan Datuk masih boleh menjual kelapa mereka kepada FAMA.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Perak atas usaha melaksanakan skim ini,” katanya.

Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, semua pengusaha pertanian di Perak perlu memanfaatkan Skim AgroPrihatin kerana petani di negeri lain cemburu dengan usaha dilakukan oleh kerajaan Perak.

Beliau berkata, petani yang ada lebihan tanaman tidak terjual boleh berhubung dengan PPPNP, Jabatan Pertanian Perak dan FAMA Perak.