Prabowo dan pemotong bawang

Susana, Prabowo
Susana, Prabowo
A
A
A

SUSANA adalah ibu kepada tiga orang anak. Beliau tinggal di Desa Cileungsi, Kebupaten Bogor. Menurut Presiden Prabowo Subianto, beliau seorang pemotong bawang yang memperoleh pendapatan Rp700,000 (RM159) bagi setiap kilogram bawang. Sebesar itukah pendapatan Susana?

Beliau memperkenalkan Susana bukan sahaja kepada mereka yang hadir pada sidang Tahunan Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) dan sidang bersama Dewan Perwakilan Rakyat dan Dewan Perwakilan Daerah (DPR dan DPD) tetapi juga kepada seluruh rakyat Indonesia.

Prabowo melakukannya sewaktu menyampaikan Pidato Ketatanegaraan menjelang Hari Kemerdekaan Indonesia ke-81 tahun pada Jumaat lalu. Apakah beliau tersilap baca atau data diberikan kepadanya salah?

Anehnya, sehari sebelum itu video tentang Susana muncul sebagai bahan rasmi Badan Komunikasi Republik Indonesia (Bakom RI). Bezanya dalam video itu Susana bekerja sambilan sebagai pemilah (penjahit) kain perca dengan pendapatan Rp700 (16 sen) bagi setiap kilogram kain yang dijahitnya.

Video itu juga memaparkan suami Susana, seorang pekerja buruh bangunan yang pendapatannya tidak tetap. Sebagai bahan propaganda, keluarga Suzana dikatakan mendapat bantuan sosial (bansos) sebagai sebahagian Program Keluarga Harapan.

Bagaimanakah Susana yang sehari sebelum itu penjahit kain perca berubah menjadi pemotong bawang dalam ucapan Prabowo? Dan bagaimanakah pendapatannya daripada Rp700 per kilogram kain perca menjadi Rp700,000 setiap kilogram bawang yang dipotongnya?

Bagaimanakah Bakom RI boleh memberikan fakta bercanggah atau apakah kesilapan itu disengajakan?

Indonesia kecoh akibat kenyataan itu. Netizen menjadikannya bahan jenaka. Semua orang mahu jadi pemotong bawang oleh sebab gajinya Rp700,000 sekilo bawang yang dikupas.

Menurut Prabowo, Susana mampu memotong 20 kilogram bawang sehari. Maknanya pendapatan beliau adalah Rp14 juta (RM3,180). Nampaknya Susana memperoleh pendapatan lebih besar daripada kebanyakan Ketua Pengawai Eksekutif syarikat besar di Jakarta!

Artikel Berkaitan:

Teori

Terdapat juga pelbagai teori konspirasi tentang hal ini. Salah seorang penyokong tegar Prabowo yang juga Ketua Majlis Jaringan Aktivis Pro-Demokrasi (Prodem) dan Wakil Ketua Badan Pengentasan Kemiskinan, Iwan Sumule menganggap ada pengkhianatan dari dalam. Beliau mendakwa ada usaha untuk menjatuhkan Prabowo dengan menjadikannya bahan cemuhan rakyat.

Sebenarnya Prabowo ada kecenderungan untuk membuat kenyataan yang penuh kontroversi apabila berucap di luar daripada teks yang disediakan. Baru-baru ini sewaktu berada dalam majlis sebuah parti gabungan dalam kerajaannya, beliau menyebut ungkapan 'londo ireng'. Londo ireng adalah label penghinaan bagi peribumi yang menjadi alat penjajah Belanda. Istilah ini dikaitkan dengan mereka yang mengkhianati bangsanya sendiri.

Prabowo menyebut 'londo ireng' dalam konteks wartawan dan 'pengamat' atau penganalisis. Memang wartawan dan pengamat banyak mengkritik beberapa dasar beliau. Salah satunya adalah program Makan Bergizi Gratis (MBG) atau Makan Berzat Percuma. Ini merupakan salah satu manifesto politik beliau sewaktu kempen pilihan raya presiden.

MBG berniat baik. Beliau mahukan semua pelajar Indonesia tidak lapar pergi ke sekolah. Beliau mahu menangani isu stunting khususnya dalam kalangan anak-anak daripada keluarga miskin. Beliau juga mahu memastikan ibu-ibu mengandung mendapat makanan berzat.

Kritikan

Kos MBG melampaui Rp268 trilion (RM60 bilion) bagi tahun ini sahaja. Bagi membiayainya banyak program pembangunan untuk rakyat yang harus ditangguh atau dibatalkan.

Setakat ini banyak kritikan diajukan ekoran pembaziran, sasaran tidak tepat dan rasuah dalam pelaksanaan MBG. Malah Mahkamah Konstitusi Indonesia baru-baru ini memutuskan bahawa pemotongan biaya pendidikan sebanyak 20 peratus untuk disalurkan kepada MBG tidak sah. Mahkamah tertinggi negara itu berpendapat bahawa 'program MBG bukan merupakan komponen utama biaya operasi peyelenggaraan pendidikan'.

Pada waktu sama pelajar berdemonstrasi menentang pelaksanaan MBG selain cadangan Prabowo mewujudkan Koperasi Merah Putih di seluruh negara. Kritikan keras juga datang daripada media, netizen, penganalisis politik dan ahli ekonomi. Cara Prabowo melabelkan mereka yang menentang dasarnya sebagai londo ireng mengejutkan banyak pihak.

Adalah dipercayai bahawa Prabowo adalah di antara pemimpin dunia yang tidak memiliki sebarang akaun media sosial. Maka itu beliau mendapat maklumat hanya daripada orang-orang di sekelilingnya. Sebagai contoh sewaktu berlaku rusuhan besar di Jakarta pada bulan Ogos dan September tahun lalu, beliau tidak mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku.

Malah kematian seorang penghantar barang (ojek) bernama Affan Kurniawan yang dilanggar dan digilis oleh kenderaan perperisai milik Kor Briged Bergerak (Brimop) di Jakarta pada 28 Ogos 2025 hanya diketahuinya tiga hari selepas itu. Jakarta sudah terbakar.

Ini menimbulkan satu lagi teori konspirasi bahawa mantan ajundanya, Teddy Indra Wijaya amat berpengaruh. Beliau kini dilantik Sekretaris Kabinet (Seskab) pada usia yang sangat muda dan dengan pengalaman yang amat terbatas. Malah ada tuduhan mengatakan bahawa menteri harus 'melapor' kepada Teddy dan bukan langsung kepada presiden. Laluan ke presiden harus melalui Teddy.

Dalam situasi semacam inilah yang menambah keyakinan rakyat bahawa Prabowo tidak mendapat maklumat tepat seperti yang berlaku dalam kes Susana, si pemotong kain percik.

*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang seni, budaya dan politik Indonesia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!