Himalaya mencair: Asia kian terancam

EKOSISTEM Himalaya yang rapuh kini semakin terancam akibat peningkatan suhu yang didorong oleh perubahan iklim.
Ia bukan sahaja menjejaskan alam sekitar malah boleh mengubah atau memusnahkan kehidupan jutaan hingga berbilion penduduk di kawasan hiliran merentasi sempadan negara dan budaya.
China dan India yang sering dianggap sebagai kuasa besar dunia masa depan serta tonggak utama dalam apa yang disebut sebagai ‘Abad Kebangkitan Asia’ amat bergantung kepada kestabilan Himalaya demi menjamin keselamatan ekonomi dan politik mereka.
Namun, impian itu semakin dibayangi ketidaktentuan apabila perubahan iklim terus mengancam kestabilan rantau tersebut.
Wilayah Himalaya amat penting bukan sahaja kepada penduduk dan hidupan yang mendiami kawasan tersebut malah turut menyokong berbilion populasi di negara-negara sekitarnya seperti Afghanistan, India, China, Nepal, Bhutan, Pakistan, Bangladesh dan Myanmar.
Dari sudut geopolitik pula, wilayah Himalaya turut merangkumi zon ketenteraan yang paling tegang di dunia iaitu India-Pakistan dan India-China. Kehadiran pasukan tentera dan pembangunan infrastruktur yang semakin meluas di kawasan berkenaan turut meningkatkan tekanan ke atas persekitaran Himalaya.

Hakikat bahawa glasier Himalaya semakin mencair bukanlah sesuatu yang baharu. Saintis telah memberi amaran mengenai pencairan ini sejak lebih sedekad lalu walaupun perkara tersebut kadangkala mencetuskan kontroversi. Namun, kajian saintifik terkini mengesahkan sesuatu yang lebih membimbangkan iaitu pencairan berlaku jauh lebih pantas daripada yang direkodkan atau dijangkakan sebelum ini.
Laporan International Centre for Integrated Mountain Development (ICIMOD) berpusat di Kathmandu pada 2023 menyimpulkan Himalaya masih berpotensi kehilangan satu pertiga hingga separuh daripada isipadunya menjelang 2100 walaupun pemanasan global berjaya dihadkan kepada 1.5 hingga dua darjah Celsius seperti ditetapkan di bawah Perjanjian Iklim Paris 2015.
Banjir akibat limpahan tasik glasier (GLOF) juga merupakan ancaman paling serius kepada komuniti di kawasan Himalaya meliputi Bhutan, India, China, Nepal dan Pakistan.
Pada 2020, laporan ICIMOD bersama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mengenai tasik glasier kritikal di Himalaya mengenal pasti 47 tasik sebagai sangat berbahaya dan berpotensi pecah, sekali gus menyebabkan banjir di kawasan hiliran Beijing, New Delhi dan Kathmandu.
Selain itu, kajian mengenai limpahan glasier yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada 2023 mendapati bahawa lebih 50 peratus penduduk yang terdedah kepada ancaman GLOF tinggal di India, Pakistan, China dan Peru.
Info
>Antara tahun 2024 hingga 2025, beberapa bencana di kawasan pergunungan tinggi melanda Afghanistan, Bhutan, India dan Nepal.
>Antaranya termasuk banjir berantai di Thame, Nepal; runtuhan salji yang menimbus sebahagian kawasan Mana, India; letusan pencairan tanah beku di daerah Andarab, Afghanistan; banjir aliran keluar permafros di Humla, Nepal; banjir rentas sempadan di Rasuwa, Nepal; banjir kilat besar di Dharali, Uttarakhand, India; dan banjir kilat di Gupis, daerah Ghizar, Pakistan yang mengorbankan puluhan nyawa serta memusnahkan infrastruktur hidroelektrik penting. Kesemua bencana itu berpunca daripada perubahan pada lapisan ais dan salji di rantau tersebut.
>Himalaya turut digelar sebagai ‘kutub ketiga’ kerana menjadi kawasan simpanan air beku terbesar di dunia selepas Kutub Utara dan Kutub Selatan.
>Glasier di kawasan Pamir dan Tien Shan, Asia Tengah yang sebelum ini agak stabil juga mula menyusut dengan pantas. Kajian dan ukuran terkini menunjukkan rekod kehilangan ais yang sangat tinggi pada 2025.
>Himalaya, Karakoram, Hindu Kush, Pamir dan Dataran Tinggi Tibet digelar ‘Menara Air Asia’ kerana salji dan ais di kawasan tersebut menjadi sumber kepada sungai-sungai utama seperti Indus, Ganges, Brahmaputra, Yangtze, Kuning dan Mekong yang menyokong kehidupan hampir dua bilion penduduk.
>Kajian diterbitkan Nature Reviews Earth & Environment menghimpunkan data mengenai lebih 3,100 glasier yang pernah mengalami pergerakan mendadak. Kewujudan glasier tersebut tidak sekata di seluruh dunia sebaliknya tertumpu di beberapa kawasan tertentu seperti Artik, pergunungan tinggi di Asia dan Banjaran Andes.
> Penyelidik mengenal pasti 81 glasier yang dianggap sangat berbahaya, kebanyakannya terletak di Banjaran Karakoram merentasi Pakistan, India dan China serta menempatkan K2 iaitu gunung kedua tertinggi di dunia. Pergerakan glasier secara tiba-tiba di kawasan itu berpotensi memberi impak kepada komuniti dan infrastruktur penting di sekitarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

