X

Kindly register in order to view this article
!

Boleh nikah di Selangor jika ada 'Kebenaran Berkahwin'

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad. Gambar kecil: JAIS memaklumkan pihaknya hanya membenarkan pasangan yang telah mendapat Kebenaran Berkahwin untuk melangsungkan akad nikah dalam tempoh pelaksanaan PKP.
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan pasangan yang telah mendapat 'Kebenaran Berkahwin' untuk melangsungkan akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran khas akad nikah itu diberikan selepas mengambil kira situasi semasa dan mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Setelah diperkenan oleh Sultan Selangor memutuskan untuk memberi kebenaran khas kepada pasangan yang sudah mendapat Kebenaran Berkahwin yang mempunyai alasan munasabah dan selepas diluluskan oleh Pengarah JAIS untuk meneruskan perkahwinan sepanjang PKP ini.

"Bagaimanapun, ia dilakukan tanpa kehadiran pihak-pihak seperti mana keperluan di bawah Seksyen 7 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook JAIS hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, tiada sebarang Kebenaran Berkahwin baharu akan dikeluarkan sepanjang tempoh PKP.

Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan maklum balas, pandangan dan cadangan bernas untuk diperhalusi oleh JAIS.

Terdahulu beliau berkata, selaras dengan lanjutan tempoh pelaksanaan PKP fasa tiga yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, semua urusan permohonan kebenaran berkahwin dan majlis akad nikah di Selangor ditangguhkan sehingga ke 31 Mei atau ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus