Penduduk AS protes langkah pencegahan Covid-19

Penunjuk perasaan membawa raifal ketika berkumpul di bangunan Capitol di Lansing bagi mendesak perintah berkurung di Michigan ditarik balik. - AFP
Penunjuk perasaan membawa raifal ketika berkumpul di bangunan Capitol di Lansing bagi mendesak perintah berkurung di Michigan ditarik balik. - AFP
A
A
A

WASHINGTON - Tanpa mempedulikan penjarakan sosial, ribuan penduduk berhimpun di beberapa lokasi di ibu negeri seluruh Amerika Syarikat (AS) kelmarin bagi mendesak penarikan semula perintah berkurung yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Di Michigan yang merekodkan 1,900 kematian, lebih 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di bangunan Capitol sekali gus mengingkari perintah duduk di rumah yang diumumkan Gabenor Gretchen Whitmer.

Lebih mengejutkan, perhimpunan itu disertai kumpulan pencinta senjata api dengan membawa raifal.

Mereka turut melaungkan slogan anti Whitmer selain menyamakan anggota Demokrat itu dengan pemimpin Nazi, Adolf Hitler.

Selain Michigan, protes sama turut diadakan di Minnesota, Kentucky, Utah, Carolina Utara dan Ohio dengan kebanyakan peserta ialah penyokong tegar Presiden Donald Trump.

Penunjuk perasaan memberi alasan perintah berkurung yang dilaksanakan di hampir kesemua 50 negeri di AS sebagai satu bentuk penganiayaan, membelakangi perlembagaan selain mendakwa ia lebih berbahaya berbanding Covid-19.

Sementara itu, Trump menzahirkan perasaan simpati dan memahami kehendak rakyatnya yang mahu bergerak bebas.

Setakat ini, AS masih sebagai negara dengan kes jangkitan tertinggi di dunia dengan 671,425 kes dengan 33,286 kematian. - Agensi

Artikel Berkaitan: