Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama lain

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama pada Isnin, disokong oleh data ekonomi Malaysia yang kukuh. Gambar hiasan
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama pada Isnin, disokong oleh data ekonomi Malaysia yang kukuh. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama pada Isnin, disokong oleh data ekonomi Malaysia yang kukuh, kata penganalisis.

Pada 8.05 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0360/0410 berbanding dolar AS daripada 4.0365/0405 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka terus mendapat sokongan yang baik dalam tempoh terdekat, disokong oleh data makroekonomi yang menggalakkan termasuk angka eksport pada Julai, yang berpotensi menunjukkan pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua tahun ini mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan.

"Pada Jumaat lepas, ringgit ditutup tinggi 0.16 peratus berbanding dolar AS kepada RM4.0385.

"Ringgit dijangka melepasi paras RM4.03 hari ini,” katanya kepada Bernama, sambil menambah mata wang tempatan dijangka diniagakan antara RM4.03 dan RM4.05 berbanding dolar AS hari ini.

Katanya peserta pasaran akan memberi tumpuan kepada hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh jangka panjang dan campur tangan secara langsung untuk menurunkan kadar faedah pasaran dijangka berdepan cabaran berikutan hutang kerajaan AS telah melepasi paras US$40 trilion.

"Ternyata, campur tangan sedemikian hanya akan memberi impak sementara berikutan apa yang benar-benar penting ialah saiz defisit fiskal,” katanya.

Beliau berkata pelabur akan turut memberi lebih tumpuan kepada Simposium Jackson Hole yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Ogos ini untuk mendapatkan petunjuk lanjut mengenai langkah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang seterusnya pada mesyuaratnya pada September.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5403/5436 daripada 2.5449/5476 semasa ditutup pada Jumaat lepas, naik berbanding pound kepada 5.5108/5176 daripada 5.5118/5173 dan menokok berbanding euro kepada 4.7161/7219 daripada 4.7227/7274 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1805/1846 daripada 3.1809/1843 pada Jumaat lepas dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 228.0/228.4 daripada 228.1/228.4.

Bagaimanapun, mata wang tempatan mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.54/6.55 dan menurun berbanding baht Thailand kepada 12.3675/3881 daripada 12.3474/3638 sebelum ini. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!