'Pemansuhan AUKU hadiah perjuangan mahasiswa sepanjang zaman' - Adam Adli

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dilihat sebagai hadiah buat perjuangan mahasiswa sejak sekian lama.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemansuhan akta berkenaan turut menjadi tanda besar terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi.
“Pada saat ini, saya tidak fikir siapa yang menang atau siapa yang mendapat kredit. Saya cuma terkenang wajah-wajah yang pernah berdiri bersama.
"Mereka yang pernah takut, tetapi tetap datang. Mereka yang pernah dihukum, tetapi tetap bersuara. Ini hadiah buat perjuangan anak mahasiswa sepanjang zaman,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan memorandum dan pandangan dikemukakan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.
Anwar berkata, walaupun beberapa pindaan AUKU sebelum ini telah memberi ruang kepada mahasiswa untuk bergiat aktif, ruang kebebasan itu perlu diperluas selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara.
Justeru, Adam Adli yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keputusan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

