SPRM tahan penjawat awam wanita disyaki minta, terima rasuah RM19,000

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai wanita sebuah agensi kerajaan di Pahang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM19,000 sebagai balasan membantu mendapatkan tender dan kontrak di sebuah agensi kerajaan lain di negeri berkenaan.
Menurut sumber, penjawat awam berusia lingkungan 30-an itu ditahan jam 6.45 petang pada Rabu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Temerloh.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2016 hingga 2021. Wanita itu dipercayai menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat dan individu melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” menurut sumber berkenaan.
Wanita berkenaan kini direman selama lima hari hingga 19 Ogos selepas Majistret Anis Adlina Abu Johan membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohamad Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
